Masalah air, tanah kelompok terus jadi tumpuan calon BN DUN Bebar
PEKAN, 7 Mei (Bernama) -- Penyelesaian masalah air dan tanah kelompok terus menjadi keutamaan calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bebar Datuk Mohamad Fakhruddin Mohd Ariff.
Beliau yang mempertahankan kerusi DUN Bebar bagi penggal kedua berkata pemilihannya sekali lagi bagi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) memberinya peluang menyambung usaha menyelesaikan masalah tersebut yang telah digerakkan pada penggal sebelum ini.
Beliau yang yakin dapat mengekalkan kemenangan di DUN Bebar itu juga menyifatkan sokongan rakyat kepadanya sejak dinamakan sebagai calon mencerminkan keyakinan mereka bahawa hanya BN yang dapat menyelesaikan masalah itu.
"Saya yakin rakyat masih kukuh berpegang kepada UMNO dan BN. Kita sendiri mengesan beberapa isu yang diperkatakan seperti bekalan air dan tanah kelompok serta usaha untuk mengatasinya telah dilakukan.
"Namun, sudah tentu ia perlu dilakukan secara berperingkat dan setakat ini, ia telah selesai di beberapa tempat manakala ada yang masih dalam proses penyelesaian," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.
Mohamad Fakhruddin berkata kawasan yang masih berhadapan masalah bekalan air ialah di Tanjung Batu, Nenasi dan Merchong dengan pelaksanakan hampir selesai susulan pembinaan paip bagi menyalurkan air dari tangki utama di Ganchong yang menelan kos sehingga RM56 juta.
Sebelum ini kira-kira 10,000 penduduk di kawasan tersebut menggunakan air yang diambil dari bawah tanah yang payau dan kurang bersih.
Sementara itu, bagi masalah berkaitan tanah kelompok di kawasan Tanjung Medang, Kota Perdana dan Tanjung Batu pula melibatkan Orang Asli.
"Mereka perlu faham dan diberi penerangan bahawa tindakan telah diambil tetapi proses untuk menyelesaikannya mengambil masa yang agak lama," katanya.
Mengulas mengenai manifesto beliau, Mohamad Fakhruddin menjelaskan tiada 'janji bulan bintang' tetapi kerja-kerja serta harapan realistik diletakkan bagi memastikan ia mampu ditepati.
Menurutnya selain masalah air dan tanah, beliau akan memberi tumpuan terhadap keperluan lampu jalan di setiap kampung di dalam kawasan DUN Bebar, yang juga hampir diselesaikan.
"Kita sentiasa berusaha menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat...ia tidak pernah terhenti seperti yang didakwa sesetengah pihak terutama mereka yang sengaja mahu memburukkan imej BN di mata masyarakat.
"Masalah rakyat sentiasa ada cuma apa yang kita boleh buat ialah membuat penambahanbaikan bagi setiap kekurangan yang ada dan memastikan segala permasalahan rakyat ditangani dengan baik," katanya.
Mohamad Fakhruddin menambah pengalaman bergelar wakil rakyat selama satu penggal sebelum ini memberinya kesedaran bahawa tanggungjawab tidak hanya terbatas sebagai pentadbir kawasan tetapi ia turut meliputi tanggungjawab menjaga kebajikan anggota masyarakat di kawasannya.
Menurutnya, kesulitan serta kesusahan hidup yang dialami anggota masyarakat harus dititikberatkan dan cuba diselesaikan melalui usaha menyenaraikan mereka bagi mendapatkan bantuan daripada agensi atau pihak berkaitan.
"Mereka yang menerima amanah rakyat perlu sentiasa bersedia dalam melaksanakan tanggungjawab selain berusaha memastikan tiada penduduk di kawasan tadbir keciciran dari segi bantuan mahupun perhatian.
"Ada antara masalah yang dihadapi penduduk tercicir malah tidak direkodkan untuk diajukan kepada pihak atasan bagi tujuan penyelesaian dan memperbaiki keadaan semasa kehidupan mereka," katanya.
Mohamad Fakhruddin turut mengingatkan pengundi setempat agar tidak mudah terpengaruh dengan khabar palsu yang dibawa pengundi dari luar.
"Kita tak mahu anak cucu yang menetap di luar pulang mengundi dan menghasut orang kampung dengan cerita-cerita tidak betul sedangkan mereka tahu Akta Antiberita Tidak Benar 2018 boleh dikenakan jika mereka didapati bersalah menyebarkan fitnah dan berita palsu.
"Kita harap penduduk membuka mata terhadap semua pembangunan dan keprihatian yang ditunjukkan oleh kerajaan BN. Kita tidak pernah mengabaikan rakyat dan sentiasa bergerak membantu sedaya mungkin bagi kesejahteraan rakyat," katanya.
Beliau berdepan pertandingan tiga penjuru dengan calon PAS Mohd Nazhar Othman dan Afif Syirol Abdul Rahman (PKR-PPBM) dalam PRU14 bagi mempertahankan kerusi DUN Bebar yang mempunyai 14,968 pengundi berdaftar.
-- BERNAMA