DAP ingin tuntut jawatan MB Perak jika PH menang - Amran
KUALA LUMPUR, 7 Mei (Bernama) -- Anggota seumur hidup DAP, Amran Ahmad mendedahkan bahawa DAP berhasrat menuntut jawatan Menteri Besar Perak jika Pakatan Harapan (PH) berjaya menawan negeri itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Rabu ini.
Beliau berkata pendedahan itu berdasarkan surat yang didakwa diterimanya pada 6 April lepas daripada Prof Dr Abdul Aziz Bari, calon DAP bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tebing Tinggi, Perak yang menyebut DAP tidak selesa untuk memberi jawatan menteri besar itu kepada Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, sebaliknya DAP mahu menonjolkan tokoh dalam kalangan parti mereka sendiri.
"Ini adalah satu pembohongan jelas yang dilakukan oleh DAP yang mana kali ini dilakukan oleh pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang, yang pada ketika dahulu berkata mereka tidak berhasrat menuntut jawatan Menteri Besar Perak.
"Ramai melihat kenyataan ini sebagai satu strategi politik untuk mengelak pengundi Melayu lari daripada menyokong PH," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.
Amran turut melahirkan rasa kesal terhadap Abdul Aziz yang membiarkan dirinya sehingga kini diperalat oleh DAP.
"Saya banyak dapat maklumat daripada beliau tentang hala tuju politiknya, namun kesal beliau yang berintegriti itu diperalatkan DAP, saya pasti Abdul Aziz akan berada di bawah telunjuk Pengerusi DAP negeri, Nga Kor Ming dan Penasihat DAP Perak, Ngeh Koo Ham.
"Selain itu, orang ramai menganggap bahawa hubungan semua parti dalam PH adalah baik tetapi ia adalah sebaliknya berlaku. Sejak zaman Pakatan Rakyat lagi, PKR dan DAP sering bercakaran," katanya yang tidak bercadang untuk keluar daripada parti itu buat masa ini.
Sabtu lalu, media tempatan melaporkan Amran yang juga pasukan publisiti DAP pusat, mendedahkan bahawa DAP mempunyai niat untuk menyebarkan progaganda yang bersifat fitnah terhadap kerajaan semata-mata untuk meraih undi rakyat pada PRU14.
Justeru, beliau menyeru rakyat di seluruh negara terutama pengundi Melayu di Perak, agar tidak menyokong PH pada pilihan raya nanti.
"Jangan sokong PH, jangan undi logo PKR, tanpa anda sedar anda menyerahkan Perak kepada DAP," katanya sambil menambah PH tidak layak memerintah Malaysia.
Katanya, beliau akan membuat beberapa siri pendedahan bagi memberi pemahaman kepada rakyat secara jelas tentang propaganda dan niat jahat parti pembangkang itu untuk mengelirukan orang ramai.
-- BERNAMA