Norhayati galas cabaran besar di DUN Pilah




KUALA PILAH, 7 Mei (Bernama) -- Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pilah Datuk Norhayati Omar menggalas cabaran besar untuk mengembalikan keyakinan pengundi kepada Barisan Nasional (BN), dan meningkatkan majoriti di kawasan itu menjelang hari pengundian Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Rabu ini.

Selepas meraih majoriti 113 undi pada PRU13 yang lepas, Pengerusi Wanita BN Negeri Sembilan itu sedar gerak kerjanya perlu dilipat gandakan khususnya di pusingan terakhir kempen yang hanya berbaki sehari sahaja lagi.

"Pengundi dan masyarakat boleh menilai gerak kerja saya sepanjang sepenggal saya bersama mereka. Jadi bagi penggal akan datang, saya harap pengundi saya menjadikan gerak kerja saya selama ini sebagai asas untuk memenangkan saya semula dan akan ada wakil wanita dalam kerajaan negeri nanti.

"Kemenangan saya yang lepas walau pun tipis, saya terima...setiap kali pilihan raya cabaran dia berbeza, PRU lepas saya bertanding satu lawan satu dan sekarang kali pertama tiga penjuru. Sama ada satu lawan satu atau tiga penjuru, saya tak boleh ambil ringan dan saya kena terus kerja kuat untuk minta sokongan," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.Norhayati yang juga Ketua Wanita UMNO Negeri Sembilan berkata meskipun terdapat sesetengah pihak yang meletakkan pertandingan satu lawan satu atau tiga penjuru sebagai mudah, sebaliknya beliau tidak mahu meletakkan persepsi itu yang akhirnya menyebabkannya mengambil mudah.

"Saya tak nak meletakkan pertandingan satu lawan satu itu mudah dan tiga penjuru itu susah...saya tak nak ada 'mental block' dalam fikiran saya yang mana saya tak mahu ada keselesaan dalam diri saya atau gerak kerja saya menjadi longgar.

"Saya bekerja keras untuk menang dan akan menggunakan ruang yang ada untuk berkempen. Saya harap pengundi menilai saya secara adil. Saya sebagai manusia biasa, kalau ada kelemahan saya akan perbaiki dan inilah harapan saya," katanya.

Mengakui cabaran kali ini agak berat baginya bagi mempertahankan kerusi yang dimenanginya pada PRU13, Norhayati berkata kekalahan tipis itu menjadi 'azimat' untuknya terus bekerja lebih keras memastikan penguasaan BN di kerusi DUN Pilah. "Saya ini bukan orang baharu, bukan orang tak kenal...bila kita bertanding dengan majorit mudah ia agak memberi tekanan namun saya terima. Apa yang saya hadapi itulah cabaran saya untuk saya kerja lebih kuat untuk menang.

"Betul, saya menggalas bebanan yang sangat besar dan apabila menang tipis, ia adalah satu penanda aras epada saya, saya tak akan menyoal kenapa jadi begini dan saya tak nak salahkan sesiapa, realitinya (majoriti) saya 113 undi dan daripada asas itu, saya terjemahkan dalam bentuk gerak kerja pelbagai termasuk penggunaan media sosial," katanya.

Kerusi DUN Pilah yang berada di dalam kawasan Parlimen Kuala Pilah memiliki sejumlah 13,589 pengundi berdaftar.

Pada PRU13, Norhayati menang tipis dengan majoriti 113 undi menewaskan Mohamad Nazaruddin Sabtu daripada PKR.

Bagi PRU14, Norhayati akan berdepan dengan seteru lamanya Mohamad Nazaruddin dan Ahmad Fadzil Othman daripada PAS.

-- BERNAMA