Pemuda BN gesa tindakan parti berkempen tidak ikut ketetapan SPR
KUALA LUMPUR, 7 Mei (Bernama) -- Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) digesa mengambil tindakan tegas terhadap parti politik yang bertanding menggunakan logo parti lain tetapi menggunakan lambang parti mereka untuk aktiviti berkempen pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Ketua Pemuda Barisan Nasional (BN) Wilayah Persekutuan Datuk Mohd Razlan Rafii berkata DAP yang bertanding menggunakan logo PKR adalah antara yang berbuat demikian dan bergerak ke seluruh negara dengan mempamerkan logo roket mereka sebagai bahan kempen.
Beliau berkata sebagai contoh parti itu menggunakan logo parti pada siri ceramah di Simpang Empat, Alor Setar dan ia adalah bertentangan dengan ketetapan SPR sebelum ini.
"Jadi ini satu kesalahan yang terang-terang dan nyata yang telah dilakukan parti itu untuk meraih undi," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan kepada SPR di Pejabat Pilihan Raya Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur/Putrajaya di sini, hari ini.
Jelasnya bagi PRU14, SPR menetapkan beberapa penyelarasan syarat tambahan bahan kempen iaitu mana-mana simbol parti tidak berdaftar dilarang digunakan sebagai bahan kempen termasuk DAP, Amanah dan PPBM.
"Jadi SPR diminta menggunakan apa sahaja saluran untuk memantau dan ambil tindakan secepat mungkin supaya tidak terus berlaku," katanya.
Pada PRU kali ini, DAP bertanding menggunakan logo PKR.
-- BERNAMA