Perumahan jadi fokus utama Din Adam jika menang PRU14
Oleh Kamaliza Kamaruddin
DUNGUN, 7 Mei (Bernama) -- Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Dungun Datuk Din Adam berjanji memperjuangkan pembinaan rumah mampu milik (RMM) di kawasan itu sekiranya beliau diberi peluang mewakili rakyat kawasan itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Walaupun gagal memenangi kerusi itu pada PRU13, katanya beliau berusaha meminta bantuan kerajaan BN pusat dan negeri untuk menyiapkan 1,400 unit rumah di Dungun sejak 2013.
"Dalam keterbatasan kuasa sebagai pemimpin 'rasmi' di Parlimen ini, hanya jumlah itu yang mampu diusahakan.
"Rakyat Dungun perlu memberi mandat kepada BN kali ini sekiranya mahu memiliki rumah sendiri kerana hanya BN yang bersungguh-sungguh merealisasikan hasrat mereka," katanya kepada Bernama hari ini.
Setakat ini, BN telah membina 500 unit rumah mampu milik di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau Abang, 400 unit masing-masing di Paka dan Bukit Besi serta 100 unit di DUN Sura.
Din berkata hampir 30,000 orang yang memohon rumah di kawasan Parlimen Dungun, dan beliau yakin kemenangan BN akan memudahkan pembinaan rumah itu dengan sekurang-kurangnya 5,000 unit sebagai permulaan.
"Sekiranya BN diberi mandat kali ini, pembinaan rumah juga akan menjadi lebih mudah hasil kerjasama dengan beberapa pihak seperti Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) dan Perumahan Rakyat 1 Malaysia (PR1MA)...rakyat akan mempunyai lebih banyak pilihan mengikut kemampuan kewangan mereka," katanya.
Menurutnya walaupun Parlimen Dungun dan tiga kawasan DUN - Sura, Paka dan Rantau Abang- dimenangi pembangkang, BN tetap menjaga kebajikan penduduk kawasan berkenaan termasuk melaksanakan Program Jom Bantu Rakyat yang diilhamkannya pada April tahun lepas.
"Saya mengusulkan idea itu kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan beliau setuju dengan kos keseluruhan bernilai RM700,000. Inilah bukti kecaknaan BN terhadap rakyat yang masih tidak putus asa mahu membantu mereka mendiami rumah yang selesa.
"Program ini berjaya memberi sinar baharu kepada 500 keluarga di daerah Dungun apabila kerosakan di rumah mereka dapat dibaiki dan lebih selesa untuk didiami," katanya.
Din yang juga bekas Exco Kebudayaan, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan negeri Terengganu berkata program Jom Bantu Rakyat hanyalah satu daripada puluhan program yang telah dilaksanakan di Dungun sejak lima tahun lepas.
"Melalui program itu, BN dengan kerjasama Anggota Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) memilih rumah yang dikenal pasti untuk dibantu melalui dua cara iaitu baik pulih sistem perpaipan atau baik pulih sistem pendawaian elektrik.
"Kebanyakan pemilik rumah pula adalah warga emas, ibu tunggal, keluarga yang mempunyai anak kelainan upaya serta pendapatan keluarga di bawah RM2,000. Tidak sekadar itu, kita juga menyediakan perabot dan keperluan asas rakyat seperti set bilik tidur, kerusi di ruang tamu, meja makan dan barangan lain seperti kipas dan dapur.
"Keseluruhannya, program ini memang sampai ke kumpulan sasaran dan kami berpuas hati dapat mengembalikan semula senyuman penghuni di setiap rumah ini," katanya.
Ditanya mengenai potensi BN untuk merampas semula semua kawasan yang dikuasai pembangkang di Terengganu, Din berkata BN sangat yakin dapat menawan semula Rantau Abang kerana hanya kalah tipis 141 undi pada PRU lalu malah BN juga punya harapan yang sangat cerah di Paka dan tidak mustahil turut menang di Sura memandangkan undi PAS akan berpecah di dua kerusi itu apabila PH turut meletakkan calonnya kali ini.
"Kelebihan BN juga kerana selain membawa pembangunan, BN turut menyentuh emosi pengundi melalui pendekatan turun padang yang dilakukan sejak tahun 2013, bukan bermusim tetapi turun di lapangan setiap kali rakyat kesusahan ditimpa musibah...kita bantu tanpa pilih bulu," katanya.
Hasil kerjasama erat pimpinan BN Dungun dengan pemimpin pusat telah merealisasikan hasrat rakyat Dungun untuk memiliki hospital baharu bernilai RM150 juta, Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) di Bukit Besi dan lebih 229 unit Rumah Idaman Rakyat yang sedang dibangunkan anak syarikat milik penuh Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) di Paka.
Din berkata pembinaan Velodrom Azizulhasni Awang, litar lumba motosikal dan kompleks sukan di Dungun juga bakal melonjakkan lagi nama daerah itu sebagai destinasi pelancongan sukan terkenal negara tidak lama lagi.
"Berilah mandat kepada BN kali ini, Insya-Allah, kita akan perjuangkan sedaya upaya agar rakyat Dungun dapat menikmati hidup lebih selesa dan ceria apabila pembangunan fizikal dan sosial dilaksanakan dengan seimbang untuk dunia dan akhirat," katanya.
-- BERNAMA