BN tetap dominasi kerusi Parlimen di Sarawak





KUCHING, 7 Mei (Bernama) -- Menjelang berakhirnya tempoh berkempen tengah malam esok, penganalisis politik kini giat membuat ramalan dan andaian mengenai apa yang bakal berlaku di medan politik negara apabila pengundi memilih kerajaan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Rabu ini.

Di Sarawak, rata-rata berpandangan Barisan Nasional (BN) boleh menang dengan mudah, malah ramai berpendapat apa yang sedang diusahakan oleh BN negeri bukan sekadar mengekalkan 25 daripada 31 kerusi Parlimen di negeri itu malah mengintai kemenangan yang lebih besar kali ini.

Naib Canselor Universiti Kolej Teknologi Sarawak (UCTS), Prof Datuk Dr Khairuddin Ab Hamid meramalkan BN Sarawak boleh menambah sekurang-kurangnya tiga lagi kerusi, senada dengan sasaran yang diletakkan oleh Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Menurutnya, ada banyak faktor yang menyumbang kepada kejayaan BN Sarawak, namun kesimpulannya, rata-rata pemilih di sini mempunyai kepercayaan tinggi terhadap kepimpinan BN peringkat negeri.

Beliau berkata kemelut politik di Semenanjung dilihat tidak memberi sebarang kesan kepada masyarakat Sarawak yang lebih mengutamakan isu-isu setempat.

Pada PRU13, BN Sarawak membolot 25 kerusi Parlimen, dengan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB) 14, Parti Rakyat Sarawak (PRS) enam, Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) empat dan satu oleh SUPP manakala di pihak pembangkang, DAP menduduki lima kerusi dan PKR satu.

Khairuddin berkata senario politik di Sarawak jauh berbeza dengan politik Semenanjung di samping tiada isu serius yang boleh dimainkan oleh pembangkang.

Justeru, katanya masyarakat Sarawak sukar mencari kelemahan BN di peringkat negeri disebabkan perpaduan mantap dalam kalangan rakyat di bawah kepimpinan yang berwibawa.

"Setakat isu nasional, ia langsung tidak memberikan kesan kepada rakyat Sarawak kerana di sini rakyatnya lebih banyak melihat kepada kebaikan untuk penduduk negeri sahaja," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sementara itu, pensyarah kanan Fakulti Sains Sosial Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Profesor Madya Dr Jeniri Amir, pula berkata BN di Sarawak tidak menghadapi masalah besar untuk menang walaupun di Semenanjung tidak dinafikan ia menghadapi cabaran getir dalam bentuk saingan yang amat sengit.

Beliau turut yakin dengan sasaran yang diletakkan oleh Abang Johari disebabkan pelbagai faktor, terutama yang berkaitan dengan sokongan kaum Cina, kerana semua lima kerusi Parlimen yang dimiliki DAP yang menjadi sasaran BN sekarang, adalah kawasan majoriti pengundi Cina.

Abang Johari, dalam satu perjumpaan dengan media dua hari lepas, berkata beliau yakin BN boleh membolot 28 daripada 31 kerusi yang dipertandingkan di Sarawak disebabkan pelbagai faktor.

Beliau memberi bayangan bahawa kerusi-kerusi Parlimen yang boleh ditawan BN itu mungkin bukan di Kuching, tapi di bahagian tengah Sarawak, dan di utara, yakni Miri.

Sementara itu, penganalisis politik veteran, Datuk Peter Minos juga beranggapan bahawa pemilih Sarawak akan bersama dengan Ketua Menteri untuk memperoleh jumlah kerusi yang disasarkan.

Beliau berkata ini kerana majoriti pemilih di Sarawak melihat parti pembangkang yang berasal dari Semenanjung Malaysia menggunakan permainan politik yang langsung tidak boleh diterima pemilih di Sarawak.

Menurutnya. mereka lebih banyak berusaha memecah belah perpaduan dengan menggunakan taktik menyerang, tohmahan, tuduhan tidak berasas, menggunakan bahasa kesat, mencabar dan sebagainya, yang rata-rata di sini menganggap ia sebagai 'politik Semenanjung'.

-- BERNAMA