Tajuddin pertahan Wan Norashikin calon DUN Kampung Gajah
PASIR SALAK, 7 Mei (Bernama) -- Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman mempertahankan keputusannya meletakkan Datuk Dr Wan Norashikin Wan Nordin sebagai calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kampong Gajah.
"Ada pakar strategi yang mempersoalkan keputusan saya meletakkan beliau, tetapi saya tegas dengan keputusan saya berdasarkan gerak kerjanya di Pasir Salak," katanya.
Wan Norashikin, Ketua Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Pasir Salak bakal berdepan pertandingan tiga penjuru dengan calon PKR, Zaiton Latiff dan Mustafa Shaari dari PAS pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Tajuddin, anggota Majlis Tertinggi UMNO berkata, pandangan bahawa wanita tidak layak menjadi pemimpin adalah dangkal dan ketinggalan zaman, sekali gus merendahkan martabat kaum hawa.
Beliau yang akan mempertahankan kerusi Parlimen Pasir Salak pada PRU14, berucap merasmikan program 'Visit My Kampung Pasir Salak' di sini hari ini.
Program anjuran Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia itu bertujuan mempromosi lokasi tersebut sebagai salah satu destinasi pelancongan negeri.
-- BERNAMA