Calon BN Meru janji selesai masalah banjir dan keadaan jalan raya
KLANG, 7 Mei (Bernama) -- Calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Meru, Khairul Anuar Saimun akan memfokuskan usahanya untuk menangani masalah banjir kilat dan memperbaiki keadaan jalan raya di kawasan itu sekiranya mendapat mandat rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Kedua-dua masalah itu telah menghantui masyarakat di Meru sejak 10 tahun lepas ketika Selangor di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat, kata beliau.
"Masalah banjir kilat di sini amatlah serius, jika hujan lebat selama sejam banyak taman perumahan dan kampung sekitar Meru akan dinaiki air kerana sistem perparitan yang tidak diselenggara dengan baik," katanya selepas melawat Pusat Media PRU14 Jabatan Penerangan Malaysia di sini hari ini.
Selain itu katanya, keadaan jalanraya yang teruk bermula dari persimpangan lampu isyarat pekan Meru sehinggalah ke Felda Bukit Cherakah akibat kerja-kerja pelebaran jalan bermula empat tahun lepas.
DUN Meru akan menyaksikan pertembungan lima penjuru antara Khairul Anuar (BN), Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar (PKR), Noor Najhan Mohamad Salleh (PAS), S. Manikavasagam (PRM) dan Shee Chee Weng (Bebas).
-- BERNAMA