BN ada harapan rampas kembali DUN Bakar Arang




SUNGAI PETANI, 7 Mei (Bernama) -- Selepas dua penggal di bawah pembangkang, Barisan Nasional (BN) mempunyai harapan untuk merampas semula kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bakar Arang daripada PKR pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Rabu ini.

Penganalisis politik dari Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Prof Madya Dr Jeniri Amir, berkata ini kerana pertembungan lima penjuru di kerusi DUN itu memberi kelebihan kepada BN apabila kehadiran calon PAS dan PRM serta Bebas akan memecahkan undi di kawasan itu.

Tambahan pula, katanya, calon PAS akan menghakiskan sokongan pengundi Melayu yang sebelum ini memihak kepada PKR pada PRU13 memandangkan Pakatan Rakyat yang disertai PKR dan PAS sudah berpecah.

Pada PRU13, calon PKR, Simon Ooi menang kerusi tersebut dengan majoriti 6,534 undi selepas mengalahkan calon BN, Dr Lee Yean Wang dan calon Bebas, Ong Kah Soon dalam pertandingan tiga penjuru.

Justeru, dengan kehadiran calon PAS kali ini serta pertandingan lima penjuru, maka undi akan berpecah dan ini akan memberi harapan kepada BN untuk merampas semula kerusi ini, katanya kepada Bernama hari ini.

Pada PRU14, Simon akan mempertahankan kerusi tersebut dengan menentang calon PAS, Othman Chee Mee, Tan Kee Chai (PRM), Tan Hock Huat (Bebas) dan calon BN, Ko Hung Weng.

Bagaimanapun, Jeniri berkata, kehadiran calon PAS kali ini tidak boleh dimbil mudah kerana perpecahan undi jelas akan berlaku dalam kalangan pengundi Melayu yang terdiri daripada 46.69 peratus berbanding 39.02 peratus pengundi Cina di kawasan DUN berkenaan yang terletak di bawah Parlimen Sungai Petani.

"Jadi bagi saya pengundi penentu adalah orang Melayu, sejauh mana BN dapat menarik pengundi Melayu pada saat-saat akhir kempen akan menentukan kemenangan BN," katanya.

Dalam pada itu, tinjauan Bernama di sekitar kawasan DUN Bakar Arang hari ini mendapati rata-rata pengundi memberikan maklum balas positif untuk melihat perubahan lebih baik berlaku di kawasan berkenaan di bawah pimpinan BN.

Seorang penduduk, Roszaimi Md Rejab, 47, berkata BN perlu diberikan peluang kali ini selepas wakil rakyat dari PKR selama dua penggal gagal membawa pembaharuan.

Berkongsi pendapat sama, Chia Hong Chu, 65, berkata beliau akan meminta bantuan pemimpin BN kawasan jika menghadapi masalah kerana jarang melihat kelibat wakil rakyat dari PKR itu.

Oleh itu, beliau berharap calon BN diberikan peluang menjadi wakil rakyat di situ supaya kebajikan penduduk terus terbela dan diberikan perhatian oleh pemimpin atasan.

Dalam pada itu, calon BN, Hung Weng, calon muka baharu MCA, berkata beliau optimis dapat merampas kerusi itu berdasarkan sambutan serta penerimaan positif pengundi kaum Melayu dan Cina terhadap kehadirannya sepanjang berkempen di situ.

Beliau seterusnya meminta pengundi memberikan peluang kepadanya untuk membawa lebih banyak pembaharuan di kawasan itu dengan antara lain usaha menambah klinik kesihatan di kawasan Taman Keladi sekiranya beliau mendapat mandat menjadi wakil rakyat di situ.

-- BERNAMA