Kemenangan BN Sabah Rabu ini mula terbayang
Oleh Newmond Tibin
KOTA KINABALU, 7 Mei (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) Sabah, yang menghadapi pertandingan banyak penjuru, kini kelihatan sedang menuju ke arah kemenangan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) Rabu ini.
Walaupun pembangkang mendakwa mereka dapat menembusi kubu kuat BN, namun penilaian terbaru peramal politik tempatan menunjukkan calon BN 'mendahului' dari segi sokongan di kebanyakan kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan.
Menurut mereka, melainkan berlaku sesuatu di luar jangka, BN juga mempunyai kelebihan untuk mendapat majoriti dua pertiga di DUN selepas PRU14.
Penganalisis politik dan pensyarah kanan Universiti Malaysia Sabah, Dr Lee Kuok Tiung berkata blok pembangkang, Parti Warisan Sabah (Warisan) yang diketuai Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, PKR dan DAP merupakan pesaing utama bagi BN sepanjang tujuh hari berkempen sebelum ini.
"Keadaan mungkin berbeza sekiranya berlaku pertandingan satu lawan satu dengan BN mungkin berat juga bagi BN," katanya.
Bagaimanapun, dalam apa yang dilihat sebagai ulangan episod pilihan raya umum 2013, pembangkang berada dalam keadaan berpecah dan ini menggelapkan peluang untuk menyaksikan pertandingan atau pertembungan secara satu lawan satu antara BN dan barisan pembangkang yang ketika itu bersatu-padu di Sabah.
Pembangkang kini berpecah kepada tiga blok iaitu pakatan longgar antara Warisan dan Pakatan Harapan (DAP, PKR), Perikatan Bersatu Sabah (USA), yang terdiri daripada Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) diketuai Adun Bingkor Datuk Dr Jeffrey Kitingan, Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS) pimpinan ADUN Klias Datuk Seri Lajim Ukin, Parti Maju Sabah (SAPP) diterajui bekas Ketua Menteri Datuk Yong Teck Lee dan Parti Perpaduan Rakyat Sabah (PPRS) diketuai Mohd Arshad Abdul Maulap serta pakatan yang baru ditubuhkan, Parti Cinta Sabah (PCS) pimpinan Datuk Wilfred Bumburing dan Parti Kerjasama Anak Negeri yang diterajui Datuk Henrynus Amin.
Lee berkata ketiadaan semangat berpasukan dan perpaduan dalam kalangan parti pembangkang di Sabah berkemungkinan membawa padah sekali lagi kepada kumpulan itu seperti yang terbukti melalui keputusan PRU13, yang menyaksikan perpecahan undi dalam kalangan parti pembangkang menafikan peluang mereka untuk memenangi beberapa kerusi Parlimen dan DUN.
"Saya berpendapat, walaupun berlaku pertandingan satu lawan satu antara pembangkang dan BN di semua kerusi yang dipertandingkan, BN, yang diterajui Tan Sri Musa Aman, tetap mempunyai kelebihan terhadap penentangnya,? kata beliau.
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyuarakan keyakinan beliau bahawa BN akan kekal berkuasa di Putrajaya dengan memenangi PRU14 Rabu ini, hasil sokongan rakyat dari seluruh negara, yang beliau sifatkan sebagai luar biasa, termasuk di Sabah dan Sarawak.
Bagaimanapun, pemerhati politik, Edward Kandok, berpendapat keputusan PRU14 sukar diramal walaupun sesetengah orang berkata BN mempunyai kelebihan.
"Apabila Warisan (Shafie) menganjurkan ceramah, saya dapati kadangkala beribu-ribu orang hadir tetapi kita tidak begitu pasti sama ada ia akan diterjemahkan ke dalam bentuk undi," katanya sambil menjelaskan bahawa PRU14 memang menarik untuk diperhati.
Edward berkata berdasarkan pemerhatian beliau, dengan tinggal dua hari sahaja lagi sebelum tiba hari mengundi, BN kelihatan menghadapi cabaran sengit daripada pembangkang bagi merebut kerusi Parlimen Semporna, Batu Sapi, Silam, Kota Kinabalu, Tawau, Sandakan, Penampang, Beaufort, Sepanggar, Pensiangan, Keningau dan Kota Marudu, manakala kerusi DUN pula seperti Api-Api, Luyang, Likas, Inanam, Kapayan, Moyog, Kadamaian, Matunggong, Klias, Tungku, Senallang, Bugaya, Sulabayan, Paginatan, Kiulu, Tamparuli, Nabawan, Sri Tanjung, Karamunting, Tanjong Papat dan Elopura.
BN meletakkan calonnya di kesemua 25 kerusi Parlimen, manakala pencabarnya terdiri daripada Warisan di 16 kerusi, HR (14), PCS (lapan), PAS (lapan), PKR (enam), STAR (lima), DAP (tiga), Anak Negeri (dua), PPRS (dua), Perpaduan (satu), Amanah (satu) dan Bebas (4).
Bagi kerusi DUN, BN meletakkan 60 calon, Warisan (45), HR (26), STAR (21), PAS (18), PCS (18), PKS (16), PKR (lapan), DAP (tujuh), Anak Negeri (sembilan), PPRS (lapan), SAPP (lima), USNO (dua), Amanah (satu), Perpaduan (satu) dan Bebas (lapan).
-- BERNAMA