Usah pandang remeh kuasa Wanita BN Cheras




Oleh Siti Radzeah Rahmat

KUALA LUMPUR, 7 Mei (Bernama) -- Perwatakannya yang lembut dan sopan menutur kata, membuatkan calon Barisan Nasional (BN) kerusi Parlimen Cheras Heng Sinn Yee, 40, amat dekat di hati rakyat terutamanya penduduk di kawasan Cheras.

Di sebalik kelembutannya itu, beliau merupakan seorang wanita yang kuat bekerja dan serius dalam memperjuang nasib rakyat terutamanya golongan berpendapatan rendah dan ibu tunggal.

Sungguhpun dikatakan baharu di dalam arena politik, ketua Wanita MCA Cheras itu secara konsisten membantu menyelesaikan banyak perkara berkaitan masyarakat di Cheras antaranya memperkasakan peranan wanita dalam meningkatkan taraf sosio ekonomi golongan itu.

"Kaum wanita perlu berdikari untuk meningkatkan taraf hidup. Saya ingin membantu mereka menjana pendapatan dengan melibatkan diri dalam perniagaan seperti secara 'online'. Jadi mereka boleh menjaga rumah tangga dan pada masa yang sama dapat menambah pendapatan," katanya kepada Bernama.

Heng yang memiliki Ijazah Sarjana Muda dalam jurusan Perakaunan dan Kewangan berkata beliau turut mahukan pembangunan dan penambahbaikan terhadap perumahan awam dan Program Perumahan Rakyat (PPR) di Cheras.

Heng bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) Rabu ini menentang calon PKR, Tan Kok Wai.

Terdapat sejumlah 78,819 pemilih berdaftar bagi Parlimen Cheras pada pilihan raya kali ini.

Dalam aspek pendidikan pula, Heng turut mahu membantu generasi muda dalam pembangunan akademik dengan penyediaan kelas tuisyen percuma bagi meningkatkan prestasi golongan itu dalam pelajaran.

Kegigihannya ingin membantu masyarakat terbukti, sungguhpun masih dalam tempoh berpantang selepas melahirkan anak lelaki awal bulan lalu beliau tetap bersemangat turun padang demi berkhidmat kepada rakyat.

"Sudah dua tahun saya berkhidmat di Cheras kerana ingin membantu masyarakat. Saya yakin jika saya bekerja keras, penduduk di Cheras akan nampak apa yang saya buat dan usahakan," katanya.

Antara perkara lain yang ingin diperjuangkan Heng adalah meningkatkan tahap keselamatan di kawasan Cheras seperti meningkatkan bilangan anggota polis yang berkawal, menambah bilangan kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi strategik dan pemantauan keselamatan 24 jam.

Selain itu, beliau juga berhasrat menaik taraf tapak peniaga seperti di kawasan Pudu agar ia menjadi destinasi pelancongan

-- BERNAMA