Masyarakat peladang beri sokongan penuh kepada calon BN




WESTON, 7 Mei (Bernama) -- Timbalan Pengerusi Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) Datuk Mohd Nazri Abdullah berkata kira-kira sejuta anggota Pertubuhan Peladang Negeri di seluruh negara akan memberi sokongan penuh kepada semua calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) ini.

Katanya, anggota pertubuhan berkenaan akan sentiasa mengingati penghargaan kerajaan di bawah pentadbiran BN selama ini terhadap golongan peladang, petani dan nelayan, yang turut diraikan setiap tahun menerusi sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan.

"Semua 14 Pertubuhan Peladang Negeri di seluruh Malaysia sebulat suara akan memberi sokongan dan dukungan penuh kepada semua calon BN.

Masyarakat peladang, petani dan nelayan di negara ini tentunya tidak akan melupakan budi Kerajaan BN selama ini dalam membela nasib mereka, " katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Program Muafakat Peladang anjuran Nafas dan Pertubuhan Peladang Negeri Sabah (PPNS) di sini malam ini.

Mohd Nazri, yang juga Pengerusi PPNS, mengingatkan masyarakat peladang, petani dan nelayan supaya menolak pelbagai propaganda dan helah pembangkang untuk meracuni pemikiran rakyat menjelang hari pengundian pada Rabu ini.

-- BERNAMA