Calon BN DUN Wakaf Bharu minta polis siasat fitnah terhadapnya




TUMPAT, 7 Mei (Bernama) -- Calon Barisan Nasional (BN) bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Wakaf Bharu Datuk Mohd Rosdi Ab Aziz hari ini membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat berhubung fitnah terhadapnya berkaitan pembelian tanah yang tular di media sosial.

Katanya dakwaan yang mulai tular sejak malam tadi itu dipercayai dilakukan pihak pembangkang sebagai satu taktik politik kotor bertujuan meraih undi dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) Rabu ini.

"Saya menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tersebut kerana ia adalah tidak benar dan fitnah pihak pembangkang semata-mata untuk menjatuhkan kredibiliti saya sebagai calon BN DUN Wakaf Bharu," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan itu.

Beliau menjelaskan tanah yang terletak di Kampung Kubang Batang itu dibelinya secara sah tahun lepas selepas borang penolakan tanah (14A) diisi oleh anak pemilik tanah itu dan semua bayaran telah dijelaskan.

Katanya pembelian tanah itu dilakukan atas dasar simpati ke atas keluarga tersebut yang ketika itu hilang tempat bergantung kerana baru kehilangan suami.

"Saya yakin ini satu tindakan terdesak pihak pembangkang untuk meraih undi rakyat dan keluarga berkenaan telah dijadikan mangsa politik jahat mereka," katanya.

-- BERNAMA