Beri mandat kepada BN isu Chennah bakal selesai - Mohamad





JELEBU, 7 Mei (Bernama) -- Beri mandat pada Barisan Nasional (BN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Chennah pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan isu permasalahan rakyat akan diselesaikan, kata Pengerusi BN Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau yang juga menteri besar berjanji bahawa BN akan menyelesaikan beberapa isu yang dihadapi masyarakat di DUN berkenaan seperti tiada dewan besar di Kampung Hosapa, pembaharuan pajakan tanah di Kampung Sungai Rotan, sistem perparitan dan penempatan tanah perkuburan Cina bakal ditunaikan kepada masyarakat.

"Jika kita (BN) menang di Chennah saya akan pastikan dewan besar di Kampung Hosapa akan dibina, kita akan perbaharui pajakan tanah di Kampung Sungai Rotan, kita akan cari tanah perkuburan untuk masyarakat Tiong Hwa dan masalah perparitan dan lain-lain akan diusahakan.

"Jadi beri kepercayaan kepada Barisan Nasional di sini...jangan risau saya Mohamad Hasan saya tidak mungkir janji," katanya ketika berucap di Majlis Ramah Mesra Bersama Masyarakat Cina Kampung Hosapa di sini, hari ini.

Turut hadir, Calon BN Parlimen Jelebu Datuk Jalaluddin Alias, Calon BN DUN Chennah Seet Tee Gee dan calon BN DUN Klawang Datuk Baharuddin Jali.

Pada PRU14 ini, Seet ditentang calon PAS Jamalus Mansor dan Loke Siew Fook daripada DAP.

Pada PRU13, calon BN Siow Foo Wen daripada BN tewas pada calon DAP Loke Siew Fook dengan majoriti 1,098 undi.

-- BERNAMA