Najib terkejut dibawa naiki pesawat AirAsia dengan slogan manifesto BN
KUALA LUMPUR, 7 Mei (Bernama) -- Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini melahirkan rasa terkejut apabila dibawa menaiki pesawat AirAsia yang memaparkan slogan 'Hebatkan Negaraku', tema manifesto Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Perdana Menteri menyifatkan kejayaan AirAsia adalah contoh sebenar pencapaian yang boleh diperoleh apabila kepimpinan berwawasan dalam perniagaan bergabung dengan dasar ekonomi dan sokongan kuat kerajaan.
"Terkejut untuk diterbangkan dalam penerbangan @AirAsia bertema BN oleh @tonyfernandes hari ini! Kejayaan AirAsia menunjukkan apa yang boleh dicapai apabila perniagaan berwawasan dan kerajaan bergabung #HebatkanNegaraKu.
"Selagi BN berkuasa, kami akan terus menyokong perniagaan perintis seperti AsiaAsia yang memberi manfaat kepada rakyat, membawa rakyat Malaysia lebih dekat dan menjulang tinggi bendera Malaysia. #HebatkanNegaraKu, " katanya dalam posting terbaharu dalam Facebook dan Twitternya.
Najib, yang juga Pengerusi BN, berkata syarikat penerbangan itu telah menjadi salah satu jenama Malaysia yang terkenal dalam dan luar negara di bawah kepimpinan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes.
Perdana menteri, yang menamatkan lawatan dua hari di Sabah, turut bergambar bersama-sama pemimpin Sabah dengan berlatarbelakangkan pesawat A330-300 itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu sebelum menaiki pesawat itu untuk pulang ke ibu negara.
Najib tiba di lapangan terbang itu pada kira-kira 4 petang selepas lawatannya di Kota Marudu bagi menghadiri program majlis pemimpin bersama rakyat.
-- BERNAMA