Beri mandat kepada BN untuk tadbir Kelantan - Mustapa





JELI, 7 Mei (Bernama) -- Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed berharap rakyat akan memberi mandat besar kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) bagi membolehkan BN mentadbir negeri ini secara sendirian.

"Beri kami mandat untuk membentuk kerajaan dan kami akan mengatur gerak kerja bagi perubahan dalam memajukan negeri demi rakyat," kataya kepada pemberita selepas Majlis Perhimpunan Veteran UMNO Parlimen Jeli di Sekolah Menengah Kebangsaan Air Lanas di sini, hari ini.

Mustapa, yang juga calon BN kerusi Parlimen Jeli dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Air Lanas, mengulas tindakan terdesak pihak tertentu mengedarkan risalah mendakwa sekiranya beliau menjadi menteri besar Kelantan, timbalan menteri besar akan dilantik daripada kalangan pembangkang.

Sementara itu, veteran UMNO Tengku Razaleigh Hamzah yang turut hadir pada majlis itu meminta rakyat tidak terpengaruh dengan manifesto pakatan pembangkang.

Beliau berkata rakyat perlu membuat penilaian dengan teliti kerana manifesto pakatan pembangkang yang dikuasai DAP itu antara lain dilihat kurang memberi perhatian kepada hal ehwal Islam.

-- BERNAMA