Majukan Sabah, Sarawak seiring matlamat Malaysia negara maju - Najib
KOTA MARUDU, 7 Mei (Bernama) -- Kerajaan perlu membangunkan Sabah dan Sarawak untuk diseiringkan dengan matlamat Malaysia mencapai taraf negara maju, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Beliau berkata sekiranya Sabah dan Sarawak ketinggalan terutama di kawasan luar bandar dan desa, maka ia tidak adil kerana mereka juga harus mengecapi apa yang ditawarkan sebuah negara maju.
"Kalau diizinkan Allah untuk saya (terus) menjadi perdana menteri (pada Pilihan Raya Umum ke-14 ini)...saya akan pastikan bahawa jurang pembangunan di Sabah dan Sarawak (dengan Semenanjung) terus dirapatkan.
"Sebab itu saban tahun peruntukan untuk Sabah dan Sarawak, iaitu sejak saya jadi perdana menteri jauh lebih besar daripada (yang diberikan) seorang yang menjadi perdana menteri selama 22 tahun. Sebab itu dalam kempen pilihan raya pada kali ini tak nampak muka beliau (Tun Dr Mahathir Mohamad) di Sabah...kenapa tidak datang ke Sabah? kerana orang Sabah tahu apa dia buat selama 22 tahun," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pemimpin bersama rakyat peringkat Parlimen Kota Marudu di sini, hari ini. Turut hadir Timbalan Ketua Menteri Sabah Tan Sri Joseph Pairin Kitingan yang juga presiden PBS dan calon Barisan Nasional (BN) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tambunan, Timbalan Presiden PBS Datuk Seri Maximus Ongkili yang juga calon kerusi Parlimen Kota Marudu, calon DUN Tandek Datuk Anita Baranting, dan calon DUN Matunggong Julita Majunki.
Najib berkata orang Sabah kini tahu menilai siapa yang boleh membantu memajukan Sabah.
"Jelas bahawa perhimpunan di Kota Marudu ini saya diberikan notis singkat, namun ribuan rakyat di Kota Marudu datang untuk berhimpun pada petang ini. Ini semua penyokong akar umbi dan saya kira bumi Kota Marudu ini tetap dalam tangan BN selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ini.
"Kota Marudu mempunyai seorang (penyandang) anggota Parlimen yang menjadi menteri dalam Kabinet Malaysia (kerajaan Persekutuan). Bila jadi menteri dalam kabinet Malaysia mudah untuk dia (Ongkili) bawa surat kepada saya untuk mendapat kelulusan. Sebab itu saya telah meluluskan membangunkan semula rumah panjang di kawasan Kota Marudu ini...walaupun DUN Matunggong kalah kepada pembangkang pada pilihan raya lepas, namun kita tidak boleh biarkan Matunggong begitu sahaja," katanya.
Najib berkata Sabah mempunyai potensi untuk lebih maju lagi, namun perlu dipastikan prinsip 'tiada sesiapa yang ketinggalan' dipraktikkan.
"Sebab itu kita perlu tentukan falsafah BN di bawah pimpinan saya iaitu falsafah yang berdasarkan kepada ekonomi bebas tetapi mesti ada intervensi kerajaan. Jadi pembangunan di bawah BN mestilah bersifat membawa manfaat kepada semua...mereka berada di atas perlu beri peluang yang berada di bawah, itu (barulah) maju," katanya.
Sehubungan itu, Najib meminta rakyat di Kota Marudu terus menyokong BN kerana hanya parti itu yang boleh mengubah masa depan ke arah lebih baik.
"Sebab itu Putrajaya kita (BN) akan kekalkan dan begitu juga dengan Sabah. Oleh itu saya mahu rakyat Kota Marudu memberi kemenangan kepada semua calon BN yang bertanding di kawasan Parlimen Kota Marudu. Saya juga minta Ketua UMNO Bahagian Kota Marudu, Datuk Wetrom Bahanda untuk membantu memenangkan semua calon BN yang ada di kawasan Parlimen ini," katanya.
Najib berkata selepas PRU14 kerajaan juga akan menambah peruntukan sebanyak RM21 juta untuk menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas di daerah ini.
"Saya terima manifesto beliau (Ongkili) untuk Kota Marudu...salah satu manifesto itu adalah menyelesaikan kesesakan lalu lintas...saya juga akan beri peruntukan untuk (pembinaan) kompleks sukan di sini selepas pilihan raya...kita tahu BN sentiasa menepati janji.
"Oleh itu rakyat perlu ingat...kalau pilih pembangkang akan dapat apa, tidak akan dapat apa-apa keuntungan sebab itu kita perlu (menjadi) sebahagian daripada keluarga besar (BN) barulah rakyat dapat faedah," katanya.
-- BERNAMA