DAP cuba kawal keadaan dengan tonjolkan simbol PKR dan DAP - Salleh
KUALA LUMPUR, 7 Mei (Bernama) -- Bendahari UMNO Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata DAP cuba 'mengawal keadaan' dengan menampilkan kedua-dua simbol PKR dan roket bagi menenangkan penyokong Cina mereka sambil memujuk hati orang Melayu pihak pembangkang.
"Kit Siang berharap mereka kemudian dapat mengekalkan sokongan Cina mereka dan serentak itu mendapatkan sokongan Melayu. Ini satu bentuk perdayaan dan menunjukkan DAP tidak yakin dengan simbol PKR," katanya dalam catatan blognya, malam ini.
Menteri Komunikasi dan Multimedia itu, yang juga calon BN Parlimen Kota Belud berkata penasihat DAP Lim Kit Siang kini dalam dilema kerana masyarakat Cina tidak memberi respons positif kepada simbol PKR sebagaimana beliau harapkan dan nampaknya ada beberapa tentangan.
Salleh berkata Kit Siang sepatutnya mendengar pendapat Chen Man Hin dan bukan pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad dalam memilih simbol parti kerana penyokong DAP sudah biasa dengan simbol 'Roket'.
"DAP fikir mereka bijak dengan berselindung di sebalik simbol PKR. Dan sekarang oleh kerana ini mengecewakan orang Cina mereka 'menonjolkan kembali' simbol roket dan pada masa sama enggan mengetepikan simbol PKR.
"Ini menimbulkan kekacauan lebih besar bagi DAP," kata Salleh.
-- BERNAMA