'Jom Bantu Rakyat' beri manfaat kepada penduduk Dungun
DUNGUN, 8 Mei (Bernama) -- Program Jom Bantu Rakyat cetusan idea calon Barisan Nasional (BN) kerusi Parlimen Dungun Datuk Din Adam pada tahun lalu memberi sinar baharu kepada 500 keluarga di daerah itu apabila rumah mereka kini lebih selesa untuk didiami.
Meskipun BN hanya memenangi satu daripada empat kerusi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di parlimen itu, kebajikan rakyat tetap dibela menerusi pelbagai program secara berterusan.
Din berkata program Jom Bantu Rakyat hanyalah satu daripada puluhan program yang dilaksanakan di Dungun sejak lima tahun lepas.
"Menerusi program itu, BN dengan kerjasama Anggota Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) telah memilih rumah yang dikenal pasti untuk dibantu melalui dua cara iaitu baik pulih sistem perpaipan atau pendawaian elektrik.
"Kebanyakan pemilik rumah pula adalah warga emas, ibu tunggal, keluarga yang mempunyai anak kelainan upaya serta pendapatan keluarga bawah RM2,000. Tidak sekadar itu, kita juga menyediakan perabot dan keperluan asas rakyat seperti set bilik tidur, sofa, meja makan dan barangan lain seperti kipas serta dapur.
"Keseluruhannya, program Jom Bantu Rakyat dengan kos hampir RM700,000 ini memang sampai ke kumpulan sasaran dan kami berpuas hati dapat mengembalikan semula senyuman penghuni di setiap rumah ini," katanya kepada Bernama hari ini.
Pada PRU 13, PAS memenangi kerusi Parlimen Dungun serta tiga DUN - Sura, Paka dan Rantau Abang manakala BN hanya berjaya mempertahankan DUN Bukit Besi.
Din berkata pada PRU14 ini, BN sangat yakin dapat menawan semula Rantau Abang kerana hanya kalah tipis 141 undi pada PRU lalu malah BN juga punya harapan yang sangat cerah di Paka serta tidak mustahil memenangi DUN Sura memandangkan undi PAS akan berpecah di dua kerusi itu apabila PH turut meletakkan calonnya.
"Kelebihan BN juga kerana selain membawa pembangunan, BN turut menyentuh emosi pengundi melalui pendekatan turun padang yang dilakukan sejak 2013, bukan bermusim tetapi turun di lapangan setiap kali rakyat ditimpa musibah... kita bantu tanpa pilih bulu," katanya.
Hasil kerjasama erat pimpinan BN Dungun dan pusat berjaya merealisasikan hasrat rakyat setempat untuk memiliki hospital baharu, Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) di Bukit Besi dan lebih 229 unit Rumah Idaman Rakyat yang sedang dibangunkan anak syarikat milik penuh Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) di Paka.
Velodrom Azizulhasni Awang, litar lumba dan kompleks sukan di Dungun juga akan dibina sebagai penghargaan buat jaguh sukan berbasikal dunia itu yang merupakan anak jati Dungun, sekali gus meletakkan nama daerah itu pada pentas dunia.
-- BERNAMA