Polis beri amaran elak provokasi, menghasut




KANGAR, 8 Mei (Bernama) -- Polis akan mengambil tindakan tegas terhadap sesiapa sahaja yang didapati sengaja menimbulkan provokasi atau menghasut mana-mana pihak semasa proses mengundi Pilihan Raya Umum ke-14, esok.

Ketua Polis Perlis, Datuk Azisman Alias berkata pihaknya tidak akan teragak-agak mengambil tindakan dalam memastikan proses pilihan raya berjalan lancar tanpa sebarang gangguan, bagi membolehkan rakyat menunaikan tanggungjawab masing-masing dengan berhemah, aman serta harmoni.

"Orang ramai juga dinasihatkan agar meletakkan kenderaan di tempat-tempat yang diarahkan oleh anggota polis atau petugas dan sebolehnya tolong keluar lebih awal untuk mengundi.

"Penyokong mana-mana parti politik diingat agar tidak meraih undi dalam kawasan 50 meter dari pusat-pusat mengundi dan terima keputusan pilihan raya dengan hati terbuka," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata para penyokong juga diingat agar tidak terlalu ghairah dengan kemenangan sehingga mewujudkan rasa marah atau dendam pihak-pihak lain dan patuhi undang-undang untuk menjaga keharmonian negara.

"Selain itu jangan beri kad pengenalan pada sesiapa, selain petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam tempat mengundi, " katanya.

-- BERNAMA