Kerajaan berjaya pisah nelayan daripada perangkap kemiskinan





PEKAN, 8 Mei (Bernama) -- Kerajaan Barisan Nasional (BN) berjaya memisahkan golongan nelayan di negara ini daripada perangkap kemiskinan hasil pelbagai inisiatif yang dilakukan untuk membantu mereka.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata semua perkara itu tidak berlaku dengan sendiri sebaliknya dirancang dengan teliti sehingga sebahagian besar daripada mereka kini mempunyai masa depan yang lebih baik berbanding kehidupan sebelum ini.

"Umpamanya selama ini kita tidak pernah beri elaun bulanan kepada nelayan, namun sejak dua tahun lalu saya ambil keputusan luluskan sebanyak RM300 sebulan sebagai bantuan elaun sara hidup untuk warga nelayan di negara ini untuk bantu ringankan beban mereka.

"Di Kuala Pahang ini sendiri sebanyak RM2.4 juta telah diluluskan untuk elaun sara hidup untuk 650 nelayan di sini dan itu belum termasuk dengan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang dinikimati oleh setiap seorang daripada mereka," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Bersama Masyarakat Nelayan Kuala Pahang di sini hari ini yang turut dihadiri calon BN Peramu Jaya bagi Pilihan Raya Umum ke-14 Datuk Seri Sh. Mohmed Fuzi Sh. Ali dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan ECER (ECERDC), Datuk Seri Jebasing Issace John.

Katanya kampung nelayan di Kuala Pahang adalah antara contoh kejayaan kerajaan dalam mentransformasikan sebuah perkampungan nelayan tradisional kepada perkampungan nelayan yang lebih maju dengan adanya pelbagai kemudahan yang disediakan termasuk menerusi ECERDC.

"Saya berkesempatan untuk melihat keadaan semasa kampung kita di Kuala Pahang ini sudah berlaku banyak transformasi berbanding dahulu. Saya masih ingat lagi ini dulu sinonim dengan kampung nelayan tradisonal di mana semua rumahnya dalam keadaan daif dan uzur.

"Ada yang memang dah condong menunggu masa sahaja nak roboh dan pendapatan pun ada yang kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, tidak lebih lebih daripada itu dan susasana di kampung ini juga agak muram.

"Hari ini Kampung Kuala Pahang sudah berubah wajah? sudah ada jeti batu, rumah batu, serta pusat nelayan selain Medan Ikan Bakar Kuala Pahang tempat orang boleh membeli pelbagai hasil laut seperti ikan masin dan sebagainya yang dapat sambutan setiap hari," katanya.

Malah, katanya, kampung nelayan Kuala Pahang ini juga menjadi satu-satunya kampung yang mempunyai beberapa rumah menggunakan sumber kuasa solar untuk menjana elektrik selain sebuah masjid yang turut menggunakan sumber sama, sekali gus menunjukkan kampung nelayan tradisional tidak terkecuali daripada dimasuki arus pembangunan negara.

Dalam masa yang sama, Najib yang juga penyandang kerusi Parlimen Pekan turut mengucapkan terima kasih kepada Universiti Malaysia Pahang (UMP) yang membantu membaik pulih rumah penduduk kampung yang uzur di kawasan itu dengan peruntukan sebanyak RM500,000 selain peruntukan beliau sendiri sebanyak RM2 juta.

Beliau juga berjanji akan meluluskan peruntukan tambahan untuk rumah baharu nelayan di Kuala Pahang dan akan mengadakan perbincangan lanjut dengan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) bagi tujuan itu.

"Insya-Allah cita-cita saya adalah untuk memastikan nelayan di negara ini tidak lagi dipandang hina atau diherdik oleh sesiapa hanya semata-mata menerima bantuan ini kerana ia merupakan sebahagian tanggungjawab kerajaan untuk membantu golongan miskin di negara ini," katanya.

-- BERNAMA