Jangan terpedaya serangan akhir pembangkang - Ahmad Bashah




ALOR SETAR, 8 Mei (Bernama) -- Rakyat diingatkan supaya jangan terpedaya dengan serangan pihak pembangkang pada waktu-waktu terakhir sebelum hari mengundi, esok sempena Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), kata Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

Beliau berkata menjelang malam ini lebih banyak tuduhan, fitnah dan serangan yang akan disebarkan oleh pembangkang menerusi media sosial dalam usaha untuk mempengaruhi pemikiran rakyat bagi menyokong parti mereka.

"Kita tahu serangan hari terakhir ini lagi hebat dan mereka (pembangkang) yang bertanding akan hasilkan sesuatu untuk mempengaruhi rakyat tapi saya minta rakyat jangan mudah terpengaruh dengan semua fitnah dan janji-janji yang ditaburkan mereka.

"Rakyat kena pandai membuat pilihan, mereka perlu lihat parti mana selalu tunaikan janji-janji yang diberikan. Kalau silap beri kuasa rakyat yang kena tanggung derita dalam tempoh lima tahun akan datang," katanya kepada pemberita pada Program Jualan Rakyat di sini, hari ini.

Katanya, rakyat perlu menggunakan kuasa yang diberikan dengan sebaiknya dengan memilih BN dan jangan mensia-siakan peluang yang diberikan dengan memilih parti yang tidak mampu untuk mentadbir negara.

Sementara itu, Ahmad Bashah yang juga calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Suka Menanti berkata beliau percaya rakyat akan terus memilih BN dan itu yang akan menentukan kemenangan parti dan membolehkan BN terus memerintah di negeri ini.

"Saya yakin dengan semua persediaan yang telah kami buat dan hari ini setiap jam saya menerima laporan daripada petugas seluruh negeri yang memaklumkan perkembangan semasa dan setakat ini saya berpuas hari dengan laporan yang diterima.

"Masa-masa terakhir ini akan digunakan sebaiknya dan kalau ada perkara yang perlu diperbaiki dan dilipatgandakan kami akan buat bagi memastikan kemenangan parti BN di negeri ini," katanya.

Kerusi DUN Suka Menanti yang ditandingi Menteri Besar Kedah, Ahmad Bashah (BN) menyaksikan pertandingan tiga penjuru, menentang calon PAS Mohd Sabri Omar dan Ir Zamri Yusuf daripada PKR.

-- BERNAMA