Zahid : BN bersedia langkah 'pre-emptive' tangkis serangan saat akhir pembangkang
SEGAMAT, 8 Mei (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) bersedia dengan langkah 'pre-emptive' bagi menangkis serangan mengejut di saat akhir daripada pembangkang menjelang hari pengundian esok, menurut Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Timbalan Perdana Menteri juga percaya menjelang saat akhir kempen, pembangkang akan meneruskan usaha menyerang kerana terdesak untuk mendapatkan undi.
"Pasti ada...Dulu masa PRU13, dikatakan ada 40,000 pengundi Bangla (Bangladesh) masuk (undi BN) mana ada? Sekarang ini siapa pulak yang akan masuk?
"Tetapi masa itu kita tak bersedia langkah pre-emptive. Sekarang kita bersedia," katanya ketika berucap pada Majlis Muafakat Pemimpin Bersama Rakyat dan perasmian Dewan Muafakat Taman Yayasan dekat sini hari ini.
Turut hadir Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam yang juga penyandang kerusi parlimen Segamat.
Ahmad Zahid yang menjalankan tugas Timbalan Presiden UMNO berkata beliau menjangkakan serangan peribadi juga akan dilemparkan kepada calon BN termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Katanya dirinya sendiri turut terpalit sama apabila dituduh calon PKR Hutan Melintang mengenai isu undi pos di parlimen itu. "Jangan terkejut kalau dilemparkan serangan pada Datuk Seri Subra atau calon-calon lain. Saya tak terkejut kalau PM pun kena," katanya.
Beliau berkata malah calon DUN Hutan Melintang itu sanggup berada di dalam lokap, berbaju lokap untuk menjaga peti undi pos gara-gara tidak percaya dengan undang-undang negara.
Justeru beliau mengingatkan pengundi terutama pengundi atas pagar supaya berjaga-jaga dan tidak terjebak dengan serangan fitnah saat akhir ini.
Katanya pembangkang sangat terdesak kerana prestasi BN berada pada tahap terbaik saat ini.
Ahmad Zahid turut menarik perhatian bahawa pembangkang akan meneruskan serangan dan fitnah mereka dalam perutusan yang akan diadakan secara "live " oleh Tun Dr Mahathir Mohamad yang akan diadakan dari Langkawi pada 10 malam ini.
Dalam pada itu Ahmad Zahid turut menyatakan keyakinan yang BN akan terus diberi mandat berdasarkan semangat muafakat BN di negeri ini.
"Saya yakin Johor akan kekal dengan BN. Kerana semangat BN Johor tidak sama dengan BN di Selangor dan Pulau Pinang dulu," katanya.
Sementara itu Ahmad Zahid berkata beliau akan memastikan sebuah Pusat Transformasi Bandar akan dibina di Parlimen Segamat jika BN terus bertahan di situ.
"Saya berjanji 150 hari dari sekarang saya akan kembali untuk yang istimewa di Segamat," katanya.
Di JOHOR BAHRU, Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin meminta rakyat supaya berhati-hati dengan serangan fitnah minit-minit terakhir oleh pembangkang sama ada berniat meraih undi simpati atau menimbulkan keraguan rakyat terhadap kerajaan.
"Dalam masa beberapa jam lagi ini saya berharap rakyat berhati-hati walaupun kempen berakhir pada pukul 12 tengah malam tetapi kalau mereka gunakan media sosial, ia (fitnah) masih boleh terus berjalan, " katanya kepada pemberita selepas merasmikan Balai Komuniti Rumah Pangsa Taman Mawar, di sini.
Menurut Mohamed Khaled, antara isu yang sedang dibawa pembangkang sekarang ini adalah berkaitan ketelusan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) dalam pengiraan undi pos.
Di KUALA NERUS, Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata pembangkang akan cuba mempengaruhi pengundi atas pagar dengan isu sama yang diulang-ulang bertujuan menimbulkan perasaan emosional dan kebencian kepada kerajaan BN.
"Jangan terpengaruh dengan pembangkang kerana mereka akan mencipta pelbagai isu yang akan menjadikan pengundi serba salah dalam memilih. Yang penting kita mahu rakyat tahu bahawa BN telah 61 tahun mentadbir negara dan telah melaksanakan banyak pembangunan serta kejayaan untuk rakyat," katanya ketika meninjau Program Jualan Sentuhan Rakyat di Dataran Permata Seberang Takir, sini hari ini. Di PONTIAN, Pengerusi Biro IT dan Media Sosial UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan berkata sebanyak 191 jentera Biro IT dan Media Sosial UMNO diminta untuk memantau serta menangkis sebarang bentuk fitnah yang dijangka berterusan di setiap media sosial.
"Kita jangka akan ada bom-bom jangka berbentuk fitnah terutama dari 12 tengah malam ini sehingga esok. Meskipun waktu berkempen berakhir tengah malam ini, kita jangkakan serangan di media sosial hanya akan berhenti pada 4.59 petang esok," kata beliau kepada pemberita selepas program Lautan Biru bersama Nelayan di daerah itu di Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia di Pusat Perdagangan Bandae Baru Pontian, di sini, hari ini.
Ahmad berkata meskipun dengan adanya Akta Antiberita Tidak Benar 2018, masih banyak berita tidak benar tersebar terutama ketika kempen pilihan raya ini.
Justeru itu, beliau berharap agar kerajaan turut memperhebatkan penguatkuasaan Akta Antiberita Tidak Benar 2018 meskipun selepas pilihan raya bagi memastikan mereka yang terlibat dengan penyebaran berita tidak benar sepanjang pilihan raya disiasat.
Di SEREMBAN, Ketua Pemuda MCA Kebangsaan yang juga calon BN bagi Parlimen Seremban Datuk Chong Sin Woon berharap tiada pihak yang menggunakan taktik kotor untuk meraih undi memandangkan tempoh masa berkempen hanya berbaki kurang 24 jam.
Beliau berkata rata-rata pengundi sudah ada keputusan parti mana yang hendak dipilih setelah segala manifesto dan janji semua parti dimaklumkan kepada mereka.
"Saya nasihatkan semua rakyat Malaysia supaya tidak mendengar apa-apa yang boleh mengubah persepsi dan pandangan terutama terhadap BN yang telah berkhidmat dan berkempen selama ini,? katanya.
-- BERNAMA