Jangan bebani Tun Mahathir kalau sayang dengannya -- Nawawi




LANGKAWI, 8 Mei (Bernama) -- Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen 004 Langkawi, Datuk Ir Nawawi hari ini mengakui beliau masih menyayangi Tun Dr Mahathir Mohamad dan tidak mahu bekas Perdana Menteri itu terus dibebani tanggungjawab sebagai wakil rakyat.

Katanya biarlah tanggungjawab ini digalas calon yang lebih muda sepertinya ataupun calon-calon BN lain di pulau ini yang telah membangun semasa Tun Mahathir masih lagi menjadi Perdana Menteri.

"Kita sayang dengan Tun Mahathir dan kita kesian dengan dia, janganlah kita hendak membebankannya lagi," katanya semasa berucap kepada kira-kira 1,000 orang nelayan dalam satu perjumpaan di Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di sini.

Menurutnya BN telah meneruskan usaha pembangunan di Langkawi biarpun bekas pemimpin berusia 93 tahun itu melepaskan jawatan nombor satu negara itu 15 tahun lepas.

"Kita tidak mahu Langkawi jatuh ke tangan orang lain jika rakyat tidak memilih Barisan Nasional kerana ini boleh menjejaskan usaha pembangunan yang dimulakan sendiri oleh Tun Mahathir," katanya.

Tun Mahathir bertindak bertanding sebagai calon PKR-PPBM di Parlimen Langkawi dalam Pilihan Raya Umum ke-14 ini menentang Nawawi sebagai penyandang kerusi parlimen tersebut dan calon PAS, Zubir Ahmad.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis itu, Nawawi berkata jentera pilihan raya BN di Langkawi telah bergerak dengan licin dan bersepadu sepanjang tempoh kempen yang diadakan.

"Saya melihat rakan di sebelah sana (calon-calon PKR-PPBM dan PAS) tidaklah begitu kuat dari segi kempen. Saya rasa mereka tidak mempunyai jentera yang cukup untuk menjalankan kempen yang bersepadu atau kukuh," katanya.

Menurutnya BN telah membina rangkaian jentera pilihan rayanya sejak sekian lama dan dengan sokongan kira-kira 17,000 orang anggota UMNO yang menjadi tulang belakang BN di Langkawi, juga memberikan kelebihan untuk mempertahankan kerusi Parlimen ini.

"Jentera kita telah bergerak secara total ke seluruh pelusuk Langkawi dan telah memberikan impak yang positif sepanjang kempen ini dan memberikan keyakinan tinggi kepada kita menjelang 9 Mei ini (hari pengundian)," katanya.

-- BERNAMA