SPR Mudahkan Proses Mengundi Dan Keputusan
Oleh Ali Imran Mohd Noordin
PUTRAJAYA (Bernama) -- Setiap lima tahun sekali seluruh negeri akan menyambut 'raya' yang menentukan pucuk pimpinan yang bakal memimpin negara melalui proses pilihan raya.
Pilihan Raya Umum (PRU) yang bakal berlangsung buat kali ke-14 esok (9 Mei) dijangka menjadi yang paling sengit dalam sejarah perjalanan proses demokrasi di negara ini.
Bagi ahli politik, peluang yang ada akan digunakan sebaiknya untuk meraih undi sebagai ahli Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) mewakili kawasan masing-masing.
Namun bagi pengundi, apa yang penting selain memilih wakil yang disukai, keselesaan sewaktu mengundi juga menjadi suatu keperluan dalam membolehkan mereka menjalankan tanggung jawab sebagai pemilih.
Justeru sesuai dengan perkembangan semasa, pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah membuat beberapa penambah baikan dalam proses PRU 14 demi memenuhi keperluan dan keselesaan para pemilih.
APLIKASI MySPR SEMAK
Buat julung kalinya, SPR memperkenalkan aplikasi telefon pintar 'MySPR Semak' untuk membantu pemilih menyemak maklumat penting berkaitan proses pilihan raya.
Pemilih boleh membuat semakan daftar pemilih dengan hanya memasukkan nombor kad pengenalan dan semua maklumat daftar pemilih boleh didapati.
Maklumat lengkap yang disediakan meliputi lokaliti, daerah mengundi, maklumat DUN, Parlimen, pusat mengundi serta saluran saluran mengundi bagi setiap pemilih.
Selain itu, maklumat calon-calon yang bertanding serta keputusan PRU 13 juga boleh disemak melalui aplikasi ini.
Pengarah Akademi Pilihan Raya, Hasanul Isyraf Naim ketika ditemubual eksklusif bersama Bernama menceritakan kebaikan aplikasi ini.
"Penggunaan aplikasi ini sangat meluas. Kepada individu, mereka boleh menyemak maklumat peribadi mereka dalam daftar pemilih. Ia juga memudahkan banyak pihak, sebagai contoh pihak media untuk menyemak maklumat calon dan keputusan PRU yang lepas.
"Bagi parti-parti politik mereka boleh menggunakan aplikasi sebagai sebahagian daripada alat kempen untuk membantu pengundi di kawasan mereka menyemak maklumat diri mereka," kata beliau.
Bagi kawasan yang telibat dengan persempadanan semula, penggunaan MySPR Semak boleh membantu pemilih mengetahu pusat mengundi mereka yang baharu sekali gus mengelakkan kesilapan yang boleh dielak.
"Apabila pemilih sudah tahu maklumat yang tepat, pemilih boleh pergi terus ke saluran mengundi mereka dan tidak lagi perlu beratur di kaunter barong seperti sebelum ini. Tidak lagi perlu beratur panjang di bawah panas matahari," jelas Hasanul.
Aplikasi ini boleh dimuat turun di Google Play dan Apple App Store secara percuma.
KEPUTUSAN 'LIVE' DI FACEBOOK
SPR juga telah membuka beberapa halaman dan akaun khusus untuk PRU14 media sosial. Di Facebook, halaman 'PRU14' (@Pilihanrayaumumke14) dibuka dan telah mendapat lebih 35,000 'like' ketika artikel ini ditulis.
Sejak lebih sebulan lepas halaman ini berkongsi pelbagai maklumat berkaitan sejarah, proses dan pengetahuan umum mengenai perjalanan pilihan raya negara.
Ia juga digunakan sebagai saluran menjawab isu-isu panas yang berlegar dalam kalangan warga masyarakat serta menjawab maklumat palsu yang tular.
Antara isu yang dijawab SPR adalah seperti klip video warga asing menaiki bas yang disyaki pengundi hantu, teks kertas undi yang mempunyai titik hitam, dan kononnya kertas undi dibawa keluar daripada balai polis tanpa kebenaran.
Ruang ini juga digunakan untuk memberi nasihat kepada bakal pengundi mengenai tatacara perjalanan pilihan raya.
SPR turut merancang untuk membuat siaran langsung keputusan-keputusan pilihan raya melalui halaman ini supaya masyarakat dapat mengetahui semua keputusan terkini dengan pantas.
Selain Facebook, beberapa akaun media sosial lain yang dibuka khas untuk PRU14 oleh SPR adalah saluran 'PRU14' telah dibuka di laman YouTube. Di Twitter ia menggunakan 'handle' @pru14spr dan Instagram, ia menggunakan 'handle' @spr_pru14.
KESELESAAN PENGUNDI OKU
Kemudahan buat pengundi golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) bukanlah satu perkara baharu dalam tatacara pengurusan pilihan raya negara, namun masih ramai yang tidak tahu tentang kemudahan yang disediakan SPR.
Sekiranya pemilih OKU mendapati sebarang kesukaran untuk mengakses saluran mengundi yang ditetapkan SPR, beliau boleh memaklumkan hal itu kepada Pengurus Pusat Mengundi (PPM) yang bertugas.
Situasi yang biasa berlaku adalah apabila pengundi OKU berkerusi roda atau bertongkat mengundi di saluran yang terletak di tingkat atas bangunan yang tidak mempunyai kemudahan lif.
Atas kuasa yang diberi kepada PPM, beliau boleh memilih sama ada untuk membantu pemilih untuk naik ke tingkat atas dengan bantuan petugas SPR yang ada atau 'menumpangkan' pemilih OKU di mana-mana saluran di tingkat bawah.
Sekiranya PPM membuat keputusan untuk menumpangkan pemilih ke saluran yang mudah diakses, beliau akan melakukan prosedur perlu yang melibatkan Ketua Tempat Mengundi (KTM) di saluran sebenar pemilih dengan KTM saluran yang ditumpangi.
Kertas undi akan dikeluarkan oleh saluran asal, nama dipotong dari daftar pemilih dan KTM kemudiannya membawa kertas undi ke saluran tumpang untuk membolehkan pemilih mengundi di situ.
Ejen tempat mengundi (ETM) parti-parti politik yang bertugas dalam kedua-dua saluran terlibat akan memastikan identiti pemilih adalah benar dan tiada sebarang perbuatan salah seperti penyamaran atau pengundian lebih daripada satu kali.
Seterusnya, di saluran tumpang pemilih OKU akan melalui proses biasa mengundi iaitu dibacakan nama, membuat celupan jari seterusnya menanda kertas undi di ruang mengundi.
KTM saluran asal akan mengambil tanggung jawab membawa kertas undi kembali ke salurannya dan dengan pemantauan ETM parti-parti bertanding, kertas undi dimasukkan ke dalam peti undi oleh KTM bagi pihak pengundi OKU tadi.
PERKEMBANGAN LAIN
Selain perkara yang dinyatakan di atas, SPR juga telah mewujudkan kategori baharu bagi pengundi pos menggunakan borang 1C yang membolehkan petugas daripada sembilan badan beruniform mengundi secara pos.
Sembilan badan ini ialah Jabatan Penjara Malaysia, Sukarelawan Simpanan Polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Kesihatan di seluruh negara, Angkatan Pertahanan Awam, Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia, Jabatan Pendaftaran Negara dan Agensi Pengurusan Bencana Negara.
Dengan cara ini anggota organisasi terlibat yang bertugas pada hari mengundi tidak akan terlepas peluang untuk menjalankan tanggung jawab sebagai pengundi.
Selain itu, anggota tentera yang tinggal di dalam kem juga diberi kemudahan mengundi awal agar mereka tetap dapat menjalankan tugas tanpa gangguan pada hari mengundi umum.
Undi awal adalah berbeza dengan undi pos. Pengundi awal adalah pengundi sebenar di lokaliti sesuatu kawasan DUN atau Parlimen tetapi diberi kemudahan berdasarkan keperluan tugas.
Manakala bagi undi pos, pengundi boleh mengundi bagi mana-mana lokaliti DUN atau Parlimen di seluruh negara kerana pengundi perlu berada di tempat lain atas keperluan tugas atau tinggal di luar negara.
BERNAMA