Ramalan Invoke sekadar gimik politik penghujung kempen - Hishammuddin





KLUANG, 8 Mei (Bernama) -- Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menyifatkan kajian Invoke Malaysia yang meramalkan beberapa tokoh politik Barisan Nasional (BN) termasuk beliau akan tumpas pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) sebagai gimik politik pada penghujung kempen.

Penyandang kerusi Parlimen Sembrong itu berkata kaji selidik berkenaan hanyalah untuk mewujudkan persepsi maya di media sosial.

"Rafizi ini (pengasas Invoke), dari dulu lagi saya tengok dia sanggup melakukan dan menyatakan apa sahaja.

"Sebab itu, bila kita tengok ramalan mereka (Invoke), kita kalah di Sembrong, Pasir Gudang dan Johor Bahru, saya hendak tanya apa rasionalnya, apa fakta yang disebutkannya itu," katanya kepada pemberita selepas meninjau Pusat Daerah Mengundi (PDM) Felda Ulu Belitong, di sini hari ini.

Hishammuddin berkata demikian ketika mengulas mengenai Invoke yang mendakwa beberapa tokoh politik BN akan tumpas pada PRU14 termasuk dirinya.

Invoke turut membuat andaian bahawa Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang bertanding di kerusi Parlimen Pasir Gudang dan Tan Sri Shahrir Abdul Samad di Parlimen Johor Bahru juga akan tewas.

Hishammuddin berkata beliau enggan melayan kajian berkenaan dan BN akan membuktikan bahawa kajian tersebut merupakan satu pembohongan dilakukan Rafizi.

Beliau berkata rakyat khususnya pengundi Sembrong adalah mereka yang akan menentukan nasib politiknya dan bukannya kajian dilakukan Invoke memandangkan beliau sudah melakukan yang terbaik untuk masyarakat Sembrong.

"Di media sosial, macam-macam boleh buat. Gembar-gembur di media sosial tidak semestinya berada di bumi nyata," katanya.

Sementara itu, beliau yakin masyarakat di enam tanah rancangan Felda di Parlimen Sembrong termasuk Felda Ulu Belitong akan memberi sokongan kepada BN.

Katanya BN berada dekat di hati pengundi Felda lebih-lebih lagi mengenang budi Allahyarham Tun Abdul Razak dalam membela nasib mereka.

-- BERNAMA