Saya bukan calon 'Touch And Go' - Syamsul Debat





SEREMBAN, 8 Mei (Bernama) -- Menjelang hari pengundian Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) esok, calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat, Syamsul Amri Ismail memohon pengundi memberi peluang kepadanya bagi membuktikan keupayaannya berkhidmat.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Syamsul Debat berkata, pelbagai tohmahan dilemparkan kepadanya oleh pembangkang, namun ia tidak mematahkan semangatnya mendekati masyarakat bagi memastikan pengundi mendapat maklumat yang benar.

"Pada saat-saat akhir ini, saya membuat lebih banyak sentuhan peribadi semasa mendekati pengundi supaya saya mendapat maklum balas mengenai apa perubahan yang mereka inginkan dan turut meyakinkan mereka bahawa saya bukan calon 'touch and go' yang sekejap ada, kemudian hilang," katanya ketika ditemui Bernama di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis Mengenali Calon Kita di Dewan Perdana KRS Bandar Warisan Puteri di sini yang turut dihadiri calon BN bagi kerusi Parlimen Seremban, Datuk Chong Sin Woon yang juga Ketua Pemuda MCA Kebangsaan, serta calon BN di kerusi DUN Lenggeng, Mazalan Maarop.

Pada PRU14, Syamsul Debat akan berhadapan pertandingan empat penjuru membabitkan calon daripada PKR, Aminuddin Harun, Rahim Yusof (PAS) dan Bujang Abu (Bebas).

PRU13, Aminuddin yang juga Pengerusi Pakatan Harapan Negeri Sembilan dan penyandang kerusi DUN Sikamat menang dengan majoriti 510 undi menewaskan Wan Salwati Abdullah daripada BN.

-- BERNAMA