Khaled: Mansuh GST hanya cakap kosong pembangkang
JOHOR BAHRU, 8 Mei (Bernama) -- Pemansuhan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang dijanjikan pembangkang hanyalah cakap kosong yang tidak mempunyai hala tuju jelas, kata Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
"Ia tidak lain tidak bukan hanya untuk mengaburi pemikiran rakyat daripada melihat manfaat dan kebaikan yang dapat dikembalikan kepada rakyat melalui pelaksanaannya," kata beliau kepada pemberita selepas merasmikan Balai Komuniti Rumah Pangsa Taman Mawar, di sini, hari ini.
Beliau berkata pembangkang sehingga hari ini juga gagal untuk memberitahu rakyat sistem kutipan cukai alternatif sekiranya GST akan dihapuskan.
"Kalau GST dimansuhkan, bagaimana nasib mereka yang sudah dikurangkan cukai pendapatan," soalnya.
Calon Parlimen Pasir Gudang itu berkata kerajaan tidak mengenakan cukai pendapatan kepada mereka yang berpendapatan RM3,000 ke bawah, dan menurunkan kadar cukai pendapatan kepada 24 peratus daripada 26 peratus.
"Jadi kami meminta rakyat terutamanya golongan muda untuk berfikir kalau GST dihapuskan, ia mesti digantikan dengan satu sistem kutipan cukai yang lain, jadi apa sistem tersebut? Yang ini pembangkang tidak beritahu," katanya.
Menurut Mohamed Khaled lagi, janji pembangkang untuk menghapuskan GST dalam masa 100 hari juga adalah mustahil untuk dicapai dan tidak lebih daripada retorik pembangkang untuk memerangkap rakyat.
"Kalau kita lihat, cara kerajaan laksanakan GST pun adalah secara perlahan dan berperingkat dan bukannya serta-merta. Ia memerlukan pelaksanaan yang lama hasil daripada perancangan yang teliti sejak tahun 2008 untuk mencari cara terbaik untuk mengubah sistem kutipan cukai.
"Tetapi kita lihat pembangkang, mereka kata 100 hari boleh hapus GST, jadi macam mana kerajaan nak jana pendapatan? Adakah pembangkang telah mempunyai perancangan untuk menggantikan GST?," katanya.
-- BERNAMA