Beberapa jalan di Ipoh ditutup sempena PRU14
IPOH, 8 Mei (Bernama) -- Beberapa jalan utama di bandar raya ini akan ditutup atau dilencongkan esok bagi memastikan kelancaran proses penjumlahan undi bagi kerusi Parlimen Tambun dan Parlimen Ipoh Barat yang dipertandingkan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) esok.
Menurut kenyataan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Ipoh hari ini, penutupan dan lencongan jalan itu akan dibuat secara berperingkat mulai pukul 5 petang manakala pembukaan jalan disusuli secara berperingkat sehingga selesai semua urusan berkaitan.
Penjumlahan undi bagi Parlimen Tambun akan diadakan di Institut Latihan Perindustrian Ipoh (ILP) di Jelapang manakala penjumlahan untuk kerusi Parlimen Ipoh Barat diadakan di Dewan Bandaran.
Sehubungan itu, Jalan Hala Jati 12 menghala ke ILP akan ditutup sepenuhnya dan dilencongkan ke Jalan Hala Jati 9, Jalan Hala Jati 7 ditutup dan dilencongkan ke Jalan Hala Jati 10, Jalan Hala Jati 1B dilencongkan Jalan Hala Jati 9.
Jalan Kuala Kangsar/Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab dilencongkan ke Jalan S.P Seenivasagam dan Jalan S.P Seenivasagam/Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab dilencongkan ke Jalan Kuala Kangsar.
Selain itu, Bulatan Bahagia (Bulatan Kidd) ke Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab dilencongkan ke KTM manakala Jalan Maharajalela/Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab dilencongkan ke Jalan Bandar.
Berikutan itu, pengguna jalan raya diminta menggunakan laluan alternatif bagi mengelak terperangkap dalam kesesakan lalu lintas.
-- BERNAMA