Mogan, Isa ganding bahu pastikan Port Dickson kembali 'biru'
Oleh Amanina Mohamad Yusof
PORT DICKSON, 8 Mei (Bernama) -- Ketika sebahagian daripada rakan-rakannya mula beralih angin, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad tetap berusaha keras membantu calon Barisan Nasional (BN) Datuk V.S. Mogan memenangi kerusi Parlimen Port Dickson (Telok Kemang) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Meskipun tidak tercalon untuk mempertahankan kerusi Parlimen Jempol yang dimenanginya pada PRU13, Ketua UMNO Bahagian Port Dickson itu tidak berkecil hati, sebaliknya memilih untuk bersama-sama dengan parti.
Ini diakui sendiri Mogan yang juga Ketua Penerangan MIC Kebangsaan yang menyifatkan Mohd Isa sebagai pemimpin berjiwa besar dan sanggup membantunya berkempen bagi memastikan kemenangan parti pada PRU14, esok.
"Beliau begitu agresif membantu saya berkempen dari pagi sampai ke malam...dan saya merasa bertuah kerana beliau sanggup bersama-sama saya sehingga saat ini pun. Malah saya berterima kasih kerana Tan Sri sanggup menjadi pencadang saya semasa penamaan calon," katanya ketika ditemui di bilik MIC dekat sini.
Pun begitu, Mogan berkata beliau penah kalah di kerusi itu pada PRU13, namun suntikan semangat yang diberikan Mohd Isa yang juga Pengerusi BN Port Dickson, telah menyemarakkan lagi semangatnya untuk menghadiahkan kerusi kepada BN pusat.
"Sepanjang berkempen saya dapat melihat sambutan yang diterima daripada pengundi di sini amat baik. Anak-anak muda pun saya lihat sudah mula memberi sokongan secara terbuka kepada BN. Ini mungkin kerana mereka melihat di bawah kepimpinan (Perdana Menteri) Datuk Seri Najib Tun Razak banyak pembangunan yang dibawa ke sini.
"Daripada sokongan yang diberi, saya yakin pengundi di sini mahukan perubahan kerana rata-rata kecewa dengan prestasi wakil rakyat sebelumnya yang tidak pernah turun padang melihat masalah rakyat," katanya.
Pada PRU14, Mogan akan bertemu dengan Mahfuz Roslan daripada PAS dan Datuk Danyal Balagopal Abdullah, PKR.
Pada pilihan raya umum sebelum ini, kerusi Parlimen Port Dickson dimenangi Datuk Kamarul Baharin Abbas (PKR) dengan majoriti 1,579 undi, mengalahkan Mogan dan Datuk Seri Kamaruddin Kumaravel Abdullah, Bebas.
-- BERNAMA