PRU14: Trafik perlahan, orang ramai pulang mengundi





KUALA LUMPUR, 8 Mei (Bernama) -- Aliran trafik di beberapa lebuh raya utama dilaporkan perlahan setakat pukul 3.30 petang ini berikutan orang ramai pulang untuk mengundi bersempena Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Menurut jurucakap Projek Lebuhraya Utara Selatan Berhad (PLUS), trafik mulai perlahan sejak jam 12 tengah hari terutama laluan dari Sungai Buloh menghala ke Rawang dan dari Gua Tempurung menuju ke Gopeng, Perak akibat aliran trafik yang tinggi.

"Trafik juga dilaporkan perlahan dari Skudai ke Senai, Johor disebabkan jumlah kenderaan yang tinggi," katanya.

Sementara itu, jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata trafik sesak sepanjang 18 kilometer selepas Plaza Tol Gombak menuju ke Bukit Tinggi, Pahang.

"Selain itu, status trafik di Lebuhraya Pantai Timur(LPT) 1 dan LPT2 masih bergerak lancar," katanya.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline di 1800-88-0000 dan laman Twitter di www.twitter.com/plustrafik atau talian LLM di 1800-88-7752 serta laman Twitter di www.twitter.com/llminfotrafik.

-- BERNAMA

MNZA MAMA RV ROS