BN sukar rampas Pulau Pinang tetapi tidak mustahil - Teng
GEORGE TOWN, 8 Mei (Bernama) -- Kesemua calon Barisan Nasional yang bertanding di Pulau Pinang dalam Pilihan Raya Umum ke-24 (PRU14) secara umumnya diterima baik oleh pengundi di negeri itu, kata Pengerusi BN Pulau Pinang Teng Chang Yeow.
Katanya agar sukar untuk BN merampas semula negeri itu yang terlepas di tangan pembangkang sejak 2008, namun ia tidak mustahil.
"Berdasarkan daripada laporan kempen daripada semua calon di Pulau Pinang, mereka secara umumnya diterima baik oleh pengundi sungguhpun terpaksa menghadapi sikap bermusuhan terhadap BN, namun sikap itu tidaklah seteruk dahulu," katanya pada sidang media di pejabat Gerakan di sini.
Beliau menambah bahawa mereka yang berumur 40 tahun ke atas kelihatan lebih menyokong calon BN berbanding generasi muda yang menimbulkan banyak rintangan.
Teng yang juga Pengerusi Gerakan Pulau Pinang percaya BN akan berjaya memenangi lebih 10 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam PRU14.
Beliau berharap pengundi di Pulau Pinang akan menyokong BN bagi mewujudkan keadaan semak dan imbang dalam pentadbiran baharu kerajaan negeri nanti.
Pada pilihan raya lepas, BN hanya meraih 10 kerusi DUN dan tiga kerusi Parlimen di mana kesemuanya disumbang oleh UMNO.
Bagi PRU14, BN bertanding dikesemua 13 kerusi Parlimen dan 40 kerusi DUN di Pulau Pinang.
-- BERNAMA