Arul Kanda tempelak pembangkang tidak muncul dalam siri jelajahnya




KUALA LUMPUR, 8 Mei (Bernama) -- Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Bhd (1MDB) Arul Kanda Kandasamy menempelak pihak pembangkang yang tidak muncul dalam siri jelajah program penerangan berkaitan syarikat itu, meskipun telah diundang.

Beliau berkata sepanjang program itu berlangsung di 31 lokasi secara terbuka, pihak pembangkang yang sentiasa memutar belit isu 1MDB, tidak hadir mendengar penerangan dan sesi soal jawab dalam siri jelajah itu.

"Saya sedih dan kecewa... saya dah jemput tapi mereka tak datang… hari ini lokasi kita yang terakhir namun tidak ada seorang pun pihak pembangkang yang berani tunjuk batang hidung.

"Bagi saya, pembangkang bukan tak tahu tapi tidak mahu tahu, bukan tak faham tapi tidak mahu faham ", katanya ketika berucap dalam program ‘Anda Tanya Kami Jawab´ di sini, malam ini.

Sementara itu, ketika ditanya nasib 1MDB sekiranya pembangkang memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Arul Kanda berkata beliau tidak dapat membayangkan situasi itu berlaku.

Bagaimanapun sebagai pengundi, beliau yakin dan bersetuju dengan segala dasar, pencapaian serta perancangan masa hadapan kerajaan Barisan Nasional (BN).

"Pada saya apa yang penting pada rakyat adalah untuk melihat parti mana yang ada rekod khidmat yang baik serta mengamalkan politik matang dan berhemah,"katanya.

-- BERNAMA