PRU14: Sebanyak 8,253 pusat mengundi dibuka serentak di seluruh negara
KUALA LUMPUR, 9 Mei (Bernama) -- Proses pengundian bagi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) bermula hari ini dengan sebanyak 8,253 pusat mengundi dibuka serentak di seluruh negara bermula 8 pagi.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyediakan sebanyak 28,115 tempat mengundi atau saluran termasuk di bangunan sekolah, dewan serbaguna dan balai raya.
Seramai 14,449,200 orang daripada jumlah keseluruhan 14,940,624 pemilih berdaftar akan mengundi mulai 8 pagi hingga 5 petang ini.
Baki pemilih lain merupakan pengundi tidak hadir luar negara, pengundi pos dan pengundi awal.
Proses pemilihan bagi menentukan kerajaan yang akan menerajui negara bagi tempoh lima tahun akan datang itu melibatkan 222 kerusi Parlimen dan 505 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Seramai 2,333 calon yang mewakili pelbagai parti termasuk Barisan Nasional dan PKR bertanding merebut kerusi Parlimen dan DUN pada pilihan raya umum itu.
SPR menjangka peratusan keluar mengundi pada PRU14 adalah sebanyak 85 peratus dengan keputusan akan diumumkan seawal 9 malam ini.
Pada hari penamaan calon, BN menang tanpa bertanding kerusi DUN Rantau di Negeri Sembilan menerusi Datuk Seri Mohamad Hassan.
-- BERNAMA