PRU14: Orang ramai beratur seawal 7 pagi
KUALA LUMPUR, 9 Mei (Bernama) -- Orang ramai mula beratur seawal 7 pagi untuk menunaikan hak sebagai pengundi bagi memilih kerajaan di peringkat pusat dan negeri pada Piihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Proses pengundian di seluruh negara bermula 8 pagi hingga 5 petang dan orang ramai mengambil kesempatan cuaca cerah di sebelah pagi di kebanyakan pusat mengundi untuk datang mengundi awal.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed adalah antara yang awal tiba di SK. Batu Gajah, Tanah Merah, Kelantan, selain calon BN Parlimen Bentong, Datuk Seri Liow Tiong Lai di SK Sulaiman, Bentong dan calon BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal, Datuk Seri Ahmad Said di SK Kijal, Terengganu untuk menunaikan tanggungjawab.
Pemimpin lain yang mengundi awal ialah Ketua Puteri UMNO Datuk Mas Ermieyati Samsudin yang juga calon Parlimen BN Masjid Tanah di SK Ramuan China Besar, Masjid Tanah, Melaka, calon BN Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor di SK Putrajaya, Presint 9 (1) dan Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob di SMK Kampung Laut, Tumpat.
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di SK Rusila, Marang manakala calon PKR-Amanah DUN Chempaka Nik Omar Nik Abdul Aziz, yang juga anak Allahyarham bekas Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, mengundi di Pusat Pengundian SMK Kota Jembal,
Calon Bebas DUN Bukit Antarabangsa, Azwan Ali mencuri tumpuan apabila mengenakan jubah serba putih dan memakai kasut sebelah merah sebelah putih ketika tiba di Pusat Mengundi SK Klang Gate di Jalan Genting Klang.
Beliau yang juga dikenali sebagai ?Diva AA' yang sepatutnya beratur di saluran dua melakukan kesilapan apabila beratur di saluran lain di pusat mengundi itu.
Presiden MIC Datuk Seri Subramaniam, Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, calon BN parlimen Johor Baharu Tan Sri Shahrir Samad dan calon BN Parlimen Setiawangsa Tan Sri Zulhasnan Rafique antara yang mengundi awal.
Masyarakat pelbagai lapisan termasuk golongan warga emas merupakan antara pengundi yang hadir awal di pusat-pusat pengundian seluruh negara.
Mereka termasuklah Fatimah Che Ngah, 99, Lee Lean Beng, 88 dan isterinya Teoh Hor Kim, 82.
Ada yang datang berkerusi roda, ada yang dibantu dipapah.
Keadaan keselamatan pada keseluruhannya adalah terkawal.
-- BERNAMA