Proses pengundian di Negeri Sembilan lancar setakat 10 pagi
SEREMBAN, 9 Mei (Bernama) -- Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Noor Azam Jamaludin berkata proses pengundian di 131 pusat pengundian di negeri ini setakat pukul 10 pagi berjalan lancar dan terkawal.
"Tiada sebarang laporan berkaitan provokasi atau apa-apa insiden yang berlaku. Polis sentiasa menjamin keselamatan pengundi sepanjang perjalanan proses pilihan raya berlangsung," katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Beliau juga meminta orang ramai mengundi awal bagi mengelakkan sebarang masalah kelak.
Sejumlah 587,108 pemilih yang layak mengundi di Negeri Sembilan berpeluang menunaikan tanggungjawab masing-masing bermula pukul 8 pagi hingga 5 petang.
Negeri Sembilan mempunyai lapan kerusi Parlimen dan 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
-- BERNAMA