Warga emas, golongan muda antara terawal keluar mengundi




ALOR GAJAH, 9 Mei (Bernama) -- Warga emas dan golongan muda antara pengundi awal yang hadir bagi menunaikan hak memilih mereka di Pusat Mengundi Parlimen Masjid Tanah di Sekolah Kebangsaan (SK) Ramuan China Besar, Masjid Tanah di sini.

Tinjauan Bernama pada hari pengundian bagi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) di pusat mengundi berkenaan mendapati biarpun ada warga emas yang terpaksa berkerusi roda, manakala golongan muda pula tidak bercuti kerana bertugas, ia tidak mengekang semangat untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pemilih dalam proses demokrasi negara.

Seorang suri rumah Che Tah Che Mat, 78, dari Kampung Solok Paya Lebar di sini berkata walaupun terpaksa berkerusi roda ke pusat pengundian, ia tidak mematahkan semangatnya untuk menjalankan kewajipan.

"Menjadi kewajipan bagi rakyat Malaysia untuk keluar mengundi tidak kira berapa umur kita. Sesungguhnya walaupun terpaksa menggunakan kerusi roda semangat mak cik tidak pernah luntur untuk keluar mengundi.

"Mak cik sudah banyak kali mengundi, walaupun tidak larat tetap datang...ini pagi-pagi mak cik sudah bersiap hendak datang mengundi, takut orang ramai, kena tunggu lama," katanya yang datang seawal 7 pagi untuk mengundi di SK Ramuan China Besar.

Kerusi Parlimen Masjid Tanah menyaksikan saingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) Datuk Mas Ermieyati Samsudin, calon PKR Datuk Dr Sabirin Ja'afar dan calon PAS Mohd Nasir Othman.

Seramai 51,441 pengundi Parlimen Masjid Tanah akan mengundi hari ini.

Sementara itu, seorang pekerja swasta, Mohd Faiz Hasan, 25, berkata keterujaan menguasai diri ekoran pengalaman mengundi kali pertama itu disifatkan sebagai berharga terutama buat golongan muda dalam menunaikan hak untuk menentukan masa depan negara.

"Meskipun saya tidak bercuti pada hari ini berikutan kekangan tugas, namun tetap meluangkan sekejap masa untuk mengundi bagi memilih sebuah kerajaan yang dapat menjamin kestabilan dan keamanan negara yang dikecapi selama ini terus dapat dikekalkan.

"Rasa lega setelah melalui saat mendebarkan semasa melangkah masuk ke dewan mengundi dan pengalaman ini tidak mungkin dilupakan selain rasa bangga dan bersyukur kerana dapat menunaikan amanah kepada negara," katanya yang berasal dari Ramuan China Besar.

-- BERNAMA