Rakyat Malaysia memenuhi pusat pengundian di seluruh negara
KUALA LUMPUR, 9 Mei (Bernama) -- Demokrasi di Malaysia tetap subur dengan rakyat Malaysia memenuhi pusat pengundian di seluruh negara bagi menunaikan tanggungjawab sebagai pemilih pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) tanpa sebarang laporan mengenai kejadian tidak diingini setakat ini.
Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), 36 peratus pemilih berdaftar telah keluar melaksanakan hak mereka sebagai pengundi setakat 11 pagi.
Perdana Menteri merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor mengundi di pusat mengundi Sekolah Sains Sultan Haji Ahmad Shah, Pekan.
Najib dilihat turut membantu ibunya Tun Rahah Mohamed Noah yang berkerusi roda.
Najib mempertahankan kerusi Parlimen Pekan yang disandangnya sejak 1976 berdepan cabaran daripada calon PKR Mohamad Zahid Mat Arip, wakil PAS Kapten (B) Ahiatudin Daud dan calon Bebas Datuk Mohd Kadir Sainudin dalam pilihan raya umum kali ini.
Pemimpin lain yang turut mengundi pagi ini ialah Ketua Pergerakan Pemuda UMNO dan calon BN di kerusi Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin serta calon BN bagi kerusi Parlimen Pasir Puteh Datuk Asyraf Wajdi Dusuki.
Tidak ketinggalan Pengerusi PPBM Tun Dr Mahathir Mohamad yang bertanding atas tiket PKR bagi kerusi Parlimen Langkawi dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali yang mengundi di SK Titi Gajah, Alor Setar.
Turut berbuat demikian Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Kerabat diraja, atlet negara dan artis tidak melepaskan peluang untuk menunaikan hak mereka sebagai pengundi dan mencuri tumpuan ramai.
Antaranya Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang mengundi di Pekan, penyanyi pop-etnik Noraniza Idris di ibu negara dan juara terjun dunia Pandelela Rinong Pamg di Kota Samarahan.
Calon BN di kerusi Dewan Undangan Negeri Bukit Besi, Roslee Daud menarik perhatian ramai kerana hadir bersama kedua-dua isterinya di pusat mengundi SK Bukit Besi, Dungun.
Turut menunaikan hak sebagai pengundi ialah pengundi tertua di Permatang Pauh, Othman Daud, 106, yang berkerusi roda dan dibantu petugas SPR di pusat mengundi SK Seri Penanti, Bukit Mertajam.
Walaupun masih dalam pantang, Siti Norazura Ayub, 33, tetap hadir sambil mendukung bayinya untuk mengundi di SK Agama Kebun Teh, Johor Bahru manakala pesakit angin ahmar (stroke) R. Kamachi, 47, berbuat demikian di SK Pengkalan Rinting 1, juga di Johor Bahru.
Di pusat pengundian SMK Pulau Serai, Dungun, seorang wanita berusia 50-an meninggal dunia ketika beratur menunggu giliran untuk mengundi, menurut polis.
Di REMBAU, Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan berkata perjalanan proses pengundian PRU14 di negeri ini, setakat 10 pagi tadi berjalan lancar, tanpa berlaku apa-apa insiden yang tidak diingini.
Mohamad yang juga Pengerusi BN Negeri Sembilan dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri berkata setakat ini tiada rungutan yang diterima dan perjalanan proses pengundian disusun baik oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
"Keadaan tenang dan orang ramai sudah keluar mengundi...jangan tunggu petang baru nak keluar kerana takut hujan. Saya yakin orang ramai tahu apa yang mereka patut buat," katanya ketika ditemui selepas mengundi di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC) Chung Hua, Rantau, di sini.
Terdahulu, Mohamad dan isteri Raja Datin Seri Datuk Salbiah Tengku Nujumuddin serta lima anak dan dua menantu tiba di pusat mengundi itu dan selesai menunaikan tanggungjawab mereka kira-kira 10.20 pagi.
Mohamad disytiharkan menang tanpa bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau pada hari penamaan calon, 28 April lalu, selepas calon PKR, Dr S.Streram gagal mengemukakan kertas pencalonannya kerana tidak mempunyai pas calon SPR untuk memasuki pusat penamaan calon.
Di LABUAN, setakat 12 tengah hari, peratusan pengundi yang mengundi di 17 pusat pengundian di pulau bebas cukai ini adalah 41 peratus, menurut Jabatan Penerangan Labuan.
Dalam pada itu, calon BN di kerusi Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli yang mempertahankan kerusi itu mengundi di Sekolah Kebangsaan Kerupang, bersama-sama isteri, adik-beradik dan anggota keluarganya.
Tinjauan Bernama di sini mendapati ramai pengundi warga emas dan ada sebilangan mereka yang terpaksa dipapah dan dipimpin serta ditolak menggunakan kerusi roda.
Koo Kiu Sing yang berumur 89 tahun tidak melepaskan peluang untuk melaksanakan hak mengundi bersama isterinya, Fong Shek Moi, 84.
"Saya tidak mahu ketinggalan mengundi, mesti turun undi, awal pagi lagi saya dan isteri sudah mari sini, bersama kawan lain," katanya.
Di KANGAR, cuaca cerah dan tidak hujan membolehkan proses pengundian di seluruh Perlis berjalan lancar.
Pengarah SPR Perlis, Ahmad Ibrahim Mohd Tayib berkata sehingga 11 pagi ini, jumlah yang mengundi di semua 296 saluran yang disediakan di 88 pusat mengundi di seluruh negeri mencapai 36 peratus.
"Peratusan ini memuaskan dan saya berharap pengundian akan terus lancar," katanya kepada Bernama semasa dihubungi.
Ketua Polis Perlis, SAC Datuk Azisman Alias pula berkata keadaan terkawal dan tiada insiden buruk dilaporkan berlaku.
Seramai 146,076 pengundi biasa (tidak termasuk pengundi awal dan luar negara) di Perlis layak mengundi pada PRU14.
-- BERNAMA