Pelakon Den Wahab undi di Bagan Datuk





BAGAN DATUK, 9 Mei (Bernama) -- Selebriti tanah air, Den Wahab, 55, melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi bagi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) di Parlimen Bagan Datuk hari ini.



Meskipun menetap di Kuala Lumpur, beliau yang memiliki perniagaan rekaan pakaian memilih mengundi di sini kerana terlibat dalam pelbagai urusan perniagaan yang menyebabkan beliau sukar mengundi di ibu negara.



"Saya mula berniaga di Bagan Datuk awal tahun 2000 tapi saya buat keputusan mengundi di sini sejak dua PRU lepas (2008 dan 2013).

"Saya telah berada di sini selama 10 hari atas urusan kerja dan sememangnya mengikuti perkembangan politik di sini,? katanya selepas mengundi di Madrasah Manbail Ulum di Sungai Nipah di sini hari ini.



Turut sama mengundi adalah isterinya, Norasyikin Bustamam, 45, dan anak keduanya Batrisyia Balqis Zaharuddin, 23.



Den Wahab atau nama sebenarnya Zaharuddin Abdul Wahab yang alamat perniagaannya di Kampung Sungai Nipah berkata setiap pengundi perlu mengenali calon yang bertanding sebelum membuat keputusan untuk memilih.



Selain Den Wahab, turut mengundi di kawasan Bagan Datuk ialah penyanyi veteran Datuk Mohd Daud Kilau, 78, di Sekolah Kebangsaan Sungai Nipah Baruh pagi ini.



-- BERNAMA