Pemimpin politik dakwa dibanjiri panggilan spam




KUALA LUMPUR, 9 Mei (Bernama) -- Pemimpin politik daripada parti memerintah dan juga pembangkang masing-masing mendakwa mereka dibanjiri panggilan spam tatkala proses pengundian Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) berlangsung hari ini.



Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Bendahari UMNO Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak dan Anggota Majlis Tertinggi (MT) UMNO Datuk Seri Azalina Othman Said serta pemimpin pembangkang seperti Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Naib Presiden PKR Tian Chua antara yang mendakwa mereka menerima panggilan tidak berjawab daripada nombor luar negara.



Hishammuddin menerusi akaun Twitter @HishammuddinH20 berkata beliau baru sahaja selesai membuang undi apabila menyedari ada panggilan tidak berjawab daripada nombor-nombor tidak dikenali.



Salleh yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata beliau juga menerima banyak panggilan spam pagi ini daripada nombor-nombor tidak dikenali, baik dari dalam mahupun luar negara seperti Indonesia.



Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin berkata telefonnya seolah-olah menerima ?serangan' spam pagi ini.



"Aneh," catat Khairy dalam akaun Twitternya yang turut disertakan cetak skrin panggilan dari pelbagai lokasi termasuk Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom.



Azalina pula berkata beliau menerima panggilan spam tidak berjawab daripada nombor-nombor luar negara yang tidak dikenali termasuk dari Korea Selatan dan AS sejak pagi.



Seorang lagi Anggota MT UMNO Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan membuat tampalan serupa menyatakan ia taktik kotor untuk menghalang komunikasi antara jentera parti.



"Telefon bimbit pemimpin-pemimpin BN kena 'serangan teknikal' sejak pagi. Panggilan-panggilan dari luar negara diterima setiap beberapa saat! Untuk menghalang kami daripada berhubung dengan jentera kami. Ini taktik kotor!" katanya.





Sementara itu, Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil berkata telefon bimbit serta e-mel utama kebanyakan calon Pakatan Harapan menjadi sasaran serangan gaya baharu tersebut.

"Setakat ini ia menjejaskan saya sendiri, @zairilkj, @elizabethwong, @AzminAli. Saya menggesa @SKMM_MCMC untuk memulakan siasatan pada kadar segera," katanya.



Turut menjadi sasaran ialah pegawai kanan kerajaan antaranya Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa dan Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.



Ali berkata beliau menerima 488 panggilan spam sejak 7 pagi.

"Ini adalah serangan siber yang yang telah dirancang oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk mengganggu #PRU14," katanya.



Orang awam turut membuat dakwaan serupa menerusi media sosial mereka ketika rakyat negara ini mula membuang undi sejak 8 pagi tadi.



Pilihan raya yang bakal menentukan kerajaan bagi mentadbir negara ini untuk tempoh lima tahun akan datang melibatkan 222 kerusi Parlimen dan 505 kawasan Dewan Undangan Negeri.



-- BERNAMA