Tidur dalam kereta untuk undi awal





SEGAMAT, 9 Mei (Bernama) -- Seorang pengundi dari Putrajaya sanggup tidur dalam kereta di hadapan pusat mengundi Sekolah Menengah Kebangsaan Buloh Kasap untuk menjadi pengundi pertama sempena Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

VJ. Mohan, 60, berkata beliau sampai ke Segamat kira-kira 3 pagi tadi dan membuat keputusan untuk berehat dalam kereta sekejap sementara menunggu pusat mengundi dibuka pada 8 pagi.

"Saya mula beratur di pintu pagar utama SMK Buloh Kasap pada 6.30 pagi dan menjadi orang pertama beratur hari ini," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mohan berkata beliau masih belum tidur namun tetap bersemangat untuk menunaikan tanggungjawab hari ini.

Katanya PRU14 merupakan kali kedua beliau menjadi pengundi di Segamat.

Sementara itu, Presiden MIC Datuk Seri Dr S. Subramaniam dan isteri Datin Seri Dr Umarani tiba di pusat mengundi itu kira-kira 8 pagi.

Beliau kemudian meninggalkan pusat pengundian itu pada 8.45 pagi sebelum bergerak meninjau ke pusat-pusat pengundian lain yang terdapat di Parlimen Segamat.

Turut tiba awal di pusat mengundi tersebut, warga emas wanita, Yee Yoke Chin, 73, kira-kira 7 pagi.

Yee berkata beliau datang bersama anaknya selepas keluar dari rumahnya di Taman Yayasan kira-kira 6.45 pagi.

"Saya ingat dapat tempat pertama namun apabila tiba di sini telah ramai yang mula beratur di hadapan pusat undi," katanya.

Warga orang kelainan upaya (OKU), Zaimi Abdul Aziz, 38, berkata kecacatan bukan satu alasan untuk beliau keluar mengundi.

"Bagi saya setiap rakyat Malaysia wajib mengundi dan ia adalah satu tanggungjawab yang harus dilaksanakan," katanya.

Rata-rata pengundi di sekitar DUN Buloh Kasap keluar awal untuk menunaikan tanggungjawab masing-masing hari ini dengan beratur seawal 6 pagi.

BN meletakkan calon baharu, Datuk Zahari Sarip sebagai calon DUN N01 Buloh Kasap kali ini.

Anak tempatan itu menghadapi persaingan satu lawan satu, berdepan calon PKR Norsamsu Yusof

-- BERNAMA