Tunggu Lima Jam: Warga emas hampir pengsan
KUALA LUMPUR, 9 Mei (Bernama) -- Pengundi warga emas berkerusi roda hampir pengsan setelah menunggu kira-kira lima jam untuk mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Pantai, Jalan Kerinchi di sini hari ini.
Rosnah Babu, 65, berkata beliau tiba ke pusat mengundi itu sejak 8 pagi tadi setelah menaiki van yang dikhaskan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dari kediamannya di Flat Sri Angkasa di sini, namun masih tidak dapat mengundi walau waktu sudah mencecah 1 tengah hari tadi.
"Sudah dua kali saya tidak dapat pergi mengundi kerana sakit dan tiada pengangkutan. Hari ini saya sangat bersemangat untuk mengundi tetapi hampa apabila terpaksa menunggu lama," katanya kepada Bernama.
Warga emas itu yang berkerusi roda dan menghidap penyakit jantung, buah pinggang, darah tinggi serta kencing manis berkata beliau juga mengalami kesukaran berikutan saluran pengundian berada di tingkat dua bangunan sekolah.
Beliau kemudian menerima rawatan sebelum dibawa ke saluran mengundi oleh pihak SPR.
Sementara itu, seorang lagi warga emas Mahani Omar, 70, yang turut datang menaiki van SPR dari Pantai Dalam berkata beliau juga tertekan kerana terpaksa menunggu di bawah khemah sejak 8 pagi.
"Kad pengenalan kami sudah diambil sejak pagi tadi tetapi hingga tengah hari kami tidak dapat membuang undi tanpa diketahui puncanya dan tidak tahu bagaimana kami hendak menaiki tangga ke saluran mengundi dengan berkerusi roda," katanya.
-- BERNAMA