Polis Sabah terima laporan enam kes kad pengenalan palsu
KOTA KINABALU, 9 Mei (Bernama) -- Polis Sabah menerima laporan enam kes melibatkan kad pengenalan digunakan individu lain semasa pengundian Pilihan Raya Umum ke-14 setakat 2 petang tadi.
Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Ramli Din berkata tiga kes diterima di Tawau dan satu kes masing-masing di Papar, Lahad Datu dan Kota Kinabalu.
"Polis telah menerima laporan tentang penggunaan kad pengenalan. Apabila pengundi itu datang mengundi, undian telah dibuat," katanya kepada pemberita selepas membuat tinjauan pusat mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Chung Hwa, di sini hari ini.
Ramli berkata proses pengundian juga berjalan lancar tanpa sebarang kejadian tidak diingini dilaporkan setakat ini.
--BERNAMA