Warga emas terlantar syukur dapat mengundi




BERA, 9 Mei (Bernama) -- Terlantar sejak enam bulan akibat menghidap penyakit gout yang kronik, menyebabkan seorang warga emas tidak tidur lena semalam memikirkan hasrat untuk mengundi pada hari ini mungkin tidak akan tercapai berikutan keuzurannya itu.

Mengenangkan keadaan itu, Musa Ismail, 68, merasa sedih memandangkan beliau tidak pernah mengabaikan tanggungjawab itu sejak 1974 iaitu pada Pilihan Raya Umum ke-4, kerana merasakan ini merupakan satu daripada cara menunjukkan rasa cintanya kepada tanah air.

Namun hari ini beliau yang tinggal bersama isterinya Halijah Bakar, 65, di Felda Sebertak di sini bersyukur apabila sekumpulan anak muda muncul di kampung itu menawarkan diri untuk membawanya ke pusat pengundian di Sekolah Kebangsaan (LKTP) Sebertak walaupun terpaksa mengangkat dan mengusungnya dari atas katil untuk menaiki kereta.

"Mula-mula itu rasa sedih jugaklah bila mengenang tidak dapat mengundi kali ini, namun nasib baik mak cik (merujuk kepada isteri) ternampak kumpulan anak muda yang menawarkan bantuan untuk menghantar orang pergi mengundi.

"Dapat jugaklah pak cik mengundi untuk kali ke-10," katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya selepas beliau pulang mengundi pada pukul 11.30 pagi tadi.

Katanya sebaik sahaja tiba di pusat pengundian itu, dia disambut oleh petugas Suruhanjaya PIlihan Raya (SPR) sebelum disorong dengan menaiki kerusi roda untuk menunaikan tanggungjawabnya sebagai rakyat Malaysia.

-- BERNAMA