Pasangan kembar teruja tunai tanggungjawab kali pertama
ALOR SETAR, 9 Mei (Bernama) -- Pasangan kembar, Farah Zulkefli dan Sarah Zulkefli, 26, tidak ketinggalan menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi buat kali pertama bagi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) hari ini.
Mereka yang mengundi di pusat pengundian di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato' Syed Omar, Jalan Sultanah di sini bagi Parlimen Pokok Sena berkata perasaan mereka bercampur baur kerana ini adalah kali pertama mereka melaksanakan tanggungjawab sebagai pemilih.
Sarah berkata walaupun berasa teruja, namun beliau ada sedikit perasaan takut kerana tidak tahu mengenai perjalanan proses pengundian itu berlangsung.
"Sebelum ini di sekolah ada buat simulasi proses pengundian berlangsung. Tetapi masa itu kita hanya melihat. Sekarang ini kita sendiri merasai pengalaman mengundi itu. Adalah sikit perasaan takut tu, tapi bila ada orang tunjuk ajar semua okey dah," katanya kepada Bernama.
Pasangan kembar itu yang masing-masing bekerja sebagai akauntan di Alor Setar dan Pulau Pinang tiba di pusat pengundian berkenaan seawal 7.55 pagi.
Bagi Farah pula, sebagai pengundi kali pertama beliau perlu membuat kajian dan belajar mengenai politik termasuk calon dan parti yang bertanding untuk memudahkannya membuat pilihan.
Beliau berkata berbeza dengan zaman dahulu, generasi muda kini lebih mengambil tahu mengenai politik negara dan berani untuk bersuara.
"Dulu orang muda tidak ambil tahu sangat mengenai hal negara. Sekarang dengan trend internet, maklumat di hujung jari sahaja. Orang muda sekarang pun dah berani bercakap dan mempunyai tanggungjawab untuk melakukan sesuatu untuk negara," katanya.
-- BERNAMA