8,253 pusat mengundi ditutup tepat 5 petang - Pengerusi SPR




File Bernama

PUTRAJAYA, 9 Mei (Bernama) -- Kesemua 8,253 pusat mengundi seluruh negara ditutup tepat pada 5 petang ini, sebagaimana diwartakan mengikut Akta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), kata Pengerusinya Tan Sri Mohd Hashim Abdullah.

Beliau berkata pihaknya tidak akan melayan mana-mana pengundi yang tiba lewat di pusat mengundi selepas 5 petang dan pintu saluran mengundi akan ditutup serta merta.

"Walaupun pengundi sudah beratur di pusat mengundi, SPR akan menutup pintu saluran serta merta tepat 5 petang," katanya kepada pemberita di Menara SPR.

Beliau berkata pengundi yang tidak berpuas hati boleh mengemukakan petisyen bantahan di mahkamah.

"Pengundi sepatutnya sedia maklum bahawa waktu akhir mengundi adalah 5 petang dan sewajarnya merancang masa untuk mengundi dan bukannya hadir pada saat akhir pusat mengundi ditutup," katanya.

Beliau berkata SPR sudah memaklumkan melalui media dari semasa ke semasa mengenai tempoh mengundi.

"Masalahnya ada pengundi bertangguh kerana tidak mahu beratur panjang. Contohnya jika pengundi datang pada 3 petang, kemungkinan tidak sempat untuk mengundi adalah tinggi," katanya.

-- BERNAMA