Tiga meninggal dunia ketika PRU14





KUALA LUMPUR, 9 Mei (Bernama) -- Dua pengundi dan seorang petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dilaporkan meninggal dunia ketika melaksanakan tanggungjawab mereka pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14), hari ini.

Pada awal pagi tadi, seorang pengundi wanita, Rokiah Sulung, 54 tidak sempat menunaikan hasrat untuk mengundi apabila beliau rebah di Sekolah Menengah Kebangsaan Pulau Serai, di Dungun, kira-kira 20 minit selepas pusat pengundian itu dibuka.

Beliau yang berasal dari Kampung Pelandang rebah ketika menunggu giliran untuk mengundi di pusat berkenaan dan disahkan meninggal dunia beberapa minit kemudian oleh pegawai perubatan yang bertugas.

Di Kuala Lumpur pula, seorang warga emas turut disahkan meninggal dunia selepas tiba-tiba jatuh pengsan, juga ketika sedang beratur untuk mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan (P) Taman Petaling.

Menurut keluarga mangsa, kematian lelaki berusia 78 tahun itu mungkin berkaitan dengan penyakit yang dialami seperti penyakit jantung, kencing manis dan masalah paru-paru.

Berita sedih turut menimpa petugas SPR, Rozaliza Mohd Said, 49 yang meninggal dunia selepas terjatuh di bilik air Balai Raya Kampung Baru Sempalit, Raub kira-kira 2.15 petang tadi.

Kerani di Sekolah Tengku Kudin, Raub itu ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di bilik air berkenaan oleh seorang rakannya.

-- BERNAMA