Bukan mudah tolak satu kertas undi - bekas Pengerusi SPR





SHAH ALAM, 9 Mei (Bernama) -- Bukan mudah untuk menolak satu kertas undi yang telah ditanda kerana ia harus dipersetujui sebulat suara oleh Ketua Tempat Mengundi, pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan agen-agen calon, kata bekas Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof.

Beliau berkata hanya kertas undi yang dipangkah lebih daripada satu calon sahaja akan ditolak dan dakwaan mengatakan terdapat titik dakwat pada kertas tersebut boleh menyebabkan undi ditolak adalah salah sama sekali.

"Kalau ada pangkah besar jelas dan titik kecil sedikit pada pada kertas undi, itu sepatutnya tak jadi masalah, ia terpulang kepada ketua tempat mengundi...yang penting kita tahu apa niat pengundi itu kerana boleh jadi titik pada kertas undi disebabkan oleh cetakan atau dakwat," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau ditemui selepas mengundi bersama isterinya, Puan Sri Siti Juliana Johan di Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 7.

Ketika ditanya mengenai undi pos, Abdul Aziz yakin SPR lebih bijak menyelesaikan pelbagai dakwaan yang timbul.

Abdul Aziz berkata pemanjangan tempoh kempen juga tidak memberi jaminan borang undi pos akan sampai kepada pemohon tepat pada waktu sepatutnya kerana ia bergantung kepada sistem pengeposan yang berbeza di seluruh dunia.

"Jika ada dakwaan kata borang undi lambat sampai atau masih tak terima, itu di luar kemampuan SPR kerana mereka mengepos kertas undi itu kepada pemohon secara individu, bukan lagi ke kedutaan seperti sebelum ini yang juga menerima pelbagai aduan, katanya.

Berdasarkan pengalamannya, Abdul Aziz berkata SPR akan berusaha sedaya upaya untuk memastikan proses pengundian serta kiraan undi berjalan lancar, adil dan saksama.

Selain itu, beliau juga yakin rakyat Malaysia masih mempercayai ketelusan suruhanjaya itu.

-- BERNAMA