Petugas SPR meninggal dunia di pusat pengundian di Raub




KUANTAN, 9 Mei (Bernama) -- Seorang petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) meninggal dunia dipercayai setelah terjatuh di dalam bilik air di Balai Raya Kampung Baru Sempalit, Raub, yang merupakan sebuah pusat pengundian, kira-kira jam 2.15 petang tadi.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Rosli Ab Rahman berkata mangsa Rozaliza Mohd Said, 49 yang merupakan kerani di Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Kudin, Raub ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di bilik air berkenaan oleh seorang lagi rakannya.

"Mangsa dari Lorong Sepam Baru, Jalan Cheroh Raub sebelum itu ada mengadu dengan anak perempuannya yang turut bertugas di PDM (Pusat Daerah Mengundi) berkenaan bahawa dia mengalami sakit kepala (migrain) dan cirit-birit. Bagaimanapun menurut anaknya itu, ibunya sebelum ini tidak mengidap sebarang penyakit serius.

Mayat kemudian telah dibawa ke hospital untuk bedah siasat," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang hari ini.

Sementara itu dalam perkembangan lain, seorang petugas SPR dan anggota polis yang bertugas di Sekolah Menengah Kebangsaan Cherok Paloh cedera ringan setelah kereta yang mereka naiki terbabas dalam kemalangan yang berlaku di Jalan Penor, Pantai Sepat, Tanjung Lumpur di Kuantan jam 6.30 pagi tadi.

Kemalangan dipercayai berlaku akibat jalan yang licin setelah hujan semalam dan pagi tadi. Mereka kemudian telah menumpang kereta petugas lain untuk ke tempat pengundian.

Dalam masa yang sama Rosli turut meminta penyokong semua parti yang bertanding agar tidak menimbulkan sebaran provokasi atau kekecohan selepas keputusan pilihan raya diumumkan nanti.

"Saya percaya penyokong-penyokong sudah matang dan mereka harus menjaga disiplin mereka, dan keselamatan untuk mengelak perkara-perkara tidak diingini berlaku," katanya.

-- BERNAMA