Lima negeri bentuk kerajaan negeri




PUTRAJAYA, 10 Mei (Bernama) -- Perlis, Pahang, Pulau Pinang, Kelantan dan Terengganu berjaya membentuk kerajaan negeri masing-masing setakat pukul 1 pagi hari ini, pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Mohd Hashim Abdullah pada sidang media di Menara SPR awal pagi ini berkata Barisan Nasional (BN) mendapat mandat semula untuk membentuk kerajaan negeri di Perlis dan Pahang.

PAS pula mendapat mandat semula di Kelantan dan merampas kembali Terengganu manakala Pakatan Harapan mendapat mandat membentuk kerajaan negeri Pulau Pinang.

Mohd Hashim memaklumkan setakat 12.50 pagi, BN di Perlis memenangi 10 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), PAS (dua) dan PKR (tiga).

Di Pahang, BN meraih 22 kerusi DUN, PAS (lapan) dan PKR (lima), setakat 12.35 pagi ini.

Keputusan di Kelantan pula menyaksikan PAS menang 28 kerusi DUN setakat 12.38 pagi dan BN (tujuh), manakala di Terengganu, PAS mendahului dengan 18 kerusi dan BN (lapan) setakat pukul 1 pagi.

Sehingga 12.43 pagi, PKR di Pulau Pinang memenangi 25 kerusi DUN, BN (dua) dan PAS (satu).

-- BERNAMA